“Kita sedang bersedia ke Putrajaya”, Nik Abduh yakin penyatuan UMNO-PAS mampu direalisasi

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 3:43 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

“Kita sedang bersedia ke Putrajaya”, Nik Abduh yakin penyatuan UMNO-PAS mampu direalisasi

KUALA LUMPUR – Hubungan UMNO dan PAS yang kembali menunjukkan perkembangan positif dilihat membuka ruang lebih luas kepada penyatuan politik Melayu-Islam, dengan kedua-dua parti kini dikatakan semakin bersedia untuk kembali menuju Putrajaya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyuarakan keyakinan itu selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.

Menurutnya, mesej yang disampaikan Ahmad Zahid memberi keyakinan bahawa usaha menyatukan umat Islam boleh direalisasikan.

“Kita ucapkan tahniah kepada Zahid.

“Ucapan yang amat meyakinkan kita bahawa penyatuan umat Islam akan berjaya, insya-Allah. Dan kita sedang bersedia untuk ke Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Kehadiran Nik Mohamad Abduh bersama kepimpinan PAS pada perhimpunan parti itu turut mencuri perhatian ketika hubungan dua parti Melayu berkenaan kembali menjadi tumpuan.

Mengulas perkara itu, beliau melihat kunjungan antara pemimpin kedua-dua parti sebagai perkembangan yang baik dalam usaha merapatkan hubungan.

Katanya, PAS sebelum ini turut menghargai kehadiran wakil UMNO pada muktamar parti berkenaan dan percaya sentimen sama dikongsi UMNO terhadap kehadiran mereka pada PAU kali ini.

“Sebagaimana kita amat berterima kasih kepada kehadiran UMNO di muktamar kita. Kita yakin bahawa UMNO juga gembira kita hadir ke sini,” katanya.

Perkembangan itu hadir ketika wacana mengenai kerjasama politik parti-parti Melayu kembali mendapat perhatian, khususnya berhubung usaha mencari titik persamaan bagi memperkukuh penyatuan Melayu dan umat Islam.

Kenyataan Nik Mohamad Abduh juga memberi isyarat bahawa PAS melihat ruang kerjasama dengan UMNO masih terbuka, meskipun bentuk dan hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti itu belum diperincikan.

The post “Kita sedang bersedia ke Putrajaya”, Nik Abduh yakin penyatuan UMNO-PAS mampu direalisasi appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved