hamden23/11/2026 - 17:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Kumpulan Kitacon Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kitacon Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM100.80 juta daripada Saujana Prima Development Sdn. Bhd. bagi melaksanakan kerja-kerja utama pembinaan 403 unit rumah teres dua tingkat di Bandar Tasik Senangin, Negeri Sembilan.
Kitacon menerima Surat Anugerah (LOA) bagi kontrak berkenaan pada 20 November 2026, yang turut merangkumi pembinaan bangunan sokongan serta kemudahan berkaitan.
Projek itu melibatkan dua fasa pembinaan, dengan Fasa 1 merangkumi 191 unit rumah teres dua tingkat Jenis A, sebuah pondok pengawal dan sebuah pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Fasa 2 pula membabitkan pembinaan 212 unit rumah teres dua tingkat, terdiri daripada 29 unit Jenis A dan 183 unit Jenis B, selain sebuah pencawang TNB.
Projek berkenaan terletak di PT 9660, Bandar Tasik Senangin, Mukim Lenggeng, Daerah Seremban, Negeri Sembilan.
Menurut Kitacon dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak itu bermula pada 20 November 2026 dan dijadualkan siap dalam tempoh 20 bulan dari tarikh permulaan.
Dari segi kewangan, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027 dan seterusnya sehingga kontrak itu selesai.
Bagaimanapun, kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham Kumpulan Kitacon.
Kumpulan turut mengenal pasti beberapa risiko yang boleh mempengaruhi pelaksanaan projek, termasuk perubahan persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia serta risiko operasi seperti kelewatan menyiapkan projek dan kekurangan bahan binaan serta tenaga kerja mahir.
Kitacon berkata, langkah sewajarnya akan diambil bagi meminimumkan risiko berkenaan. - DagangNews.com






