
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan nisbah seorang pakar psikiatri bagi setiap 40,000 penduduk berbanding seorang bagi setiap 69,000 penduduk ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM kini mempunyai kira-kira 400 pakar psikiatri daripada 700 pakar berdaftar di Malaysia, manakala kira-kira 300 lagi berkhidmat dalam sektor swasta.
“Ini menunjukkan keperluan untuk lebih memperkukuh tenaga psikiatri bagi menghadapi keperluan yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Bulan Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Menurutnya, usaha meningkatkan jumlah pakar psikiatri turut melibatkan peluasan latihan dalam bidang berkenaan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan mental yang semakin meningkat.
Dalam masa sama, KKM terus memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan mental menerusi hospital, klinik kesihatan dan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI).
Usaha itu turut disokong petugas kesihatan lain, termasuk Pakar Perubatan Keluarga (FMS) dan kaunselor.
KKM mempunyai kira-kira 500 FMS dan 300 kaunselor, manakala kira-kira 10,000 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia di seluruh negara.
Sebanyak 1,116 klinik kesihatan kerajaan turut menawarkan perkhidmatan kesihatan mental, manakala perkhidmatan psikiatri disediakan di 68 hospital KKM dan empat institusi psikiatri.
Secara keseluruhan, sebanyak 72 fasiliti di bawah KKM menyediakan perkhidmatan psikiatri bagi meningkatkan akses masyarakat kepada rawatan kesihatan mental. – UTUSAN
The post KKM sasar nisbah 1:40,000 pakar psikiatri appeared first on Utusan Malaysia.






