
Setiap kali jerebu melanda Malaysia, perhatian biasanya tertumpu kepada kualiti udara, tahap kesihatan dan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil.
Namun selepas keadaan kembali pulih, isu itu sering berlalu begitu sahaja sehingga kejadian sama berulang.
Bagi seorang artis dari Britain yang menetap di Pulau Pinang, Thomas Powell, keadaan itu menimbulkan persoalan tentang bagaimana manusia melihat masalah alam sekitar dan sejauh mana kita bersedia mengubah cara hidup.
Menerusi pameran solo terbaharunya, ‘Up In The Air’ yang dianjurkan di Galeri Cultprint, Pulau Pinang, Powell mengajak pengunjung melihat jerebu dari sudut lebih luas.
Baginya, fenomena itu bukan sekadar masalah cuaca, sebaliknya berkait rapat dengan keputusan politik, kepentingan ekonomi dan sistem yang terus mengutamakan pertumbuhan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Berlatarbelakangkan kejadian jerebu yang berulang di Malaysia serta ramalan El Nino, pameran itu turut menyentuh ketidaktentuan iklim, politik dan ekonomi yang mempengaruhi kehidupan manusia.
Persoalannya, mengapa kita begitu mudah menerima keadaan yang sama berulang kali?
Powell melihat, menormalisasikan jerebu sebagai sesuatu yang perlu dipersoalkan.
Keadaan itu bukan sekadar nasib malang, malah berkait dengan keputusan yang dibuat sebelum kesannya dirasai oleh masyarakat.
Menurutnya, apabila kepentingan ekonomi dan keselesaan menjadi keutamaan, kesan terhadap alam sekitar sering diketepikan.

Melalui pameran ‘Up In The Air’, dia turut mempersoalkan makna kemajuan dalam dunia moden.
Walaupun manusia mempunyai akses kepada pengetahuan dan teknologi semakin maju, namun sistem global masih dipengaruhi persaingan serta ketamakan.
Sementara itu, Powell berharap, keadaan cuaca luar biasa dapat menjadi peringatan kepada manusia untuk lebih bersedia, mengurangkan pembaziran dan memahami sistem yang menyokong kehidupan seharian.
Gagasan tersebut diterjemahkan melalui karya asli dan instalasi media campuran yang menampilkan objek buatan manusia terapung di tengah langit biru dan awan.
Gabungan imej itu bukan saja menghasilkan visual yang menarik, malah menimbulkan persoalan tentang budaya, masyarakat dan politik. Unsur yang kelihatan ringan dan mempesona itu turut membawa gambaran tentang kemewahan serta ketamakan manusia.
Apabila pengunjung bergerak lebih jauh ke ruang pameran, idea berkenaan dikembangkan melalui sebuah instalasi imersif. Pengalaman itu membuka ruang kepada pengunjung untuk merenung hubungan manusia dengan dunia yang semakin sukar dijangka.
Menurut Powell, sejarah menunjukkan bahawa pelbagai tamadun pernah berdepan tekanan alam sekitar, masalah ekonomi dan kegagalan politik.
Ada yang tidak mampu bertahan, manakala kesan daripada perubahan tersebut turut membentuk dunia pada hari ini.
“Kita berada di titik keseimbangan yang goyah, ia boleh menuju ke mana-mana arah,” katanya yang berkarya melalui lukisan, seni cetak, arca, bahan terpakai dan imej digital.
Menurut Powell, dia selesa menggunakan seni sebagai medium untuk meneliti bagaimana manusia sampai ke tahap ini dan apa yang boleh dilakukan seterusnya.
Menerusi ‘Up In The Air’, dia tidak menawarkan jawapan mutlak tentang masa depan.
Sebaliknya, pameran sedang berlangsung sehingga 6 Disember depan itu mengajak pengunjung menilai semula pilihan yang dibuat hari ini, sebelum masalah dianggap biasa menjadi semakin sukar ditangani.
The post Pameran tonjol persoalan jerebu dan masa depan appeared first on Kosmo Online.






