KL City bebas sekatan FIFA

LocalFootball
28 Aug 2026 • 3:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KL City bebas sekatan FIFA

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City FC  akhirnya boleh kembali bernafas apabila sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ke atas kelab itu ditarik balik sepenuhnya semalam.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang berkata pihaknya sudah menerima emel daripada FIFA berhubung perkembangan berkenaan.

Menurut Noor Azman, penarikan sekatan itu membolehkan KL City kembali mendaftarkan pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan yang sebelum ini terpaksa berdepan situasi sukar pada dua aksi pembukaan Liga Super.

“Dah ditarik sepenuhnya semalam. KL City dah mula daftar pemain seperti mana yang diperlukan.Perkara ini sudah diketahui kelab dan mereka sedang mendaftarkan pemain-pemain (tonggak baharu) ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau berkata, FAM turut memaklumkan perkembangan itu kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), manakala KL City kini sedang melengkapkan proses pengisian maklumat dan pendaftaran pemain dalam sistem.

Penarikan sekatan berkenaan hadir tepat pada masanya buat The City Boys yang sebelum ini tidak dapat mendaftarkan pemain baharu susulan isu tunggakan bayaran membabitkan pemain import.

Lebih getir, KL City memulakan kempen Liga Super dalam keadaan serba kekurangan apabila gagal beraksi menentang Negeri Sembilan FC sehingga kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada lawan.

Dalam aksi kedua pula, skuad kendalian Dollah Salleh terpaksa berdepan Kuching City dengan hanya 10 pemain di atas padang serta seorang pemain di bangku simpanan sebelum dibelasah 6-0.

Dengan sekatan FIFA kini berakhir, KL City mempunyai ruang untuk memperkemaskan semula pasukan dan mendaftarkan muka baharu, sekali gus menghidupkan harapan untuk bangkit daripada permulaan buruk musim ini.-UTUSAN

The post KL City bebas sekatan FIFA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved