Superkomputer pilih Arsenal juara

FootballSports
19 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Superkomputer pilih Arsenal juara

AKSI Perisai Komuniti yang berlangsung Ahad lalu menyaksikan Arsenal mempamerkan penguasaan membenam cabaran Manchester City sekali gus menjadi petanda saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris hampir bermula.

Musim kali ini menyaksikan banyak perubahan yang berlaku terutama pertukaran pengurus membabitkan sembilan pasukan.

Berdasarkan aksi Perisai Komuniti, Arsenal tidak menunjukkan bahawa mereka kehilangan mojo untuk mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi musim lalu dengan permainan yang kemas dan penyudah klinikal.

Musim lalu, Superkomputer Opta tidak meramalkan Arsenal sebagai pilihan utama untuk memenangi EPL, apabila The Gunners menjadi pilihan kedua dengan kebarangkalian 24.3%, di belakang Liverpool yang mencatatkan 28.5%.

Berbeza kali ini, hasil dapatan menerusi pengumpulan data yang dilakukan menyaksikan Arsenal dianggap pasukan pilihan utama dengan 38% daripada simulasi superkomputer meramalkan skuad kendalian Arteta akan mempertahankan trofi.

Kebergantungan terhadap jaringan daripada situasi bola mati terutama menerusi sepakan penjuru mungkin menyebabkan Arsenal bukan juara yang popular dalam kalangan penyokong kelab lain, namun, kejuaraan ditentukan oleh kutipan mata, bukannya populariti.

Bagaimanapun, kekuatan sebenar Arsenal adalah keampuhan benteng pertahanan yang cukup solid.

Sementara itu, biarpun Guardiola sudah meninggalkan legasinya City, superkomputer menganggap naib juara musim lalu itu masih lagi menjadi pencabar terdekat Arsenal dengan kebarangkalian 20.5% untuk memenangi kejuaraan.

Menerima sentuhan Enzo Maresca, pengendali dari Itali itu tidak boleh dipandang remeh apabila rekodnya selama 18 bulan di Chelsea sebelum ini tidaklah terlalu buruk apabila membawa kelab itu ke Liga Juara-Juara, menjuarai Piala Kelab Dunia dan Liga Konferens Europa.

Liverpool pula berada di tempat ketiga dengan kebarangkalian 9.2% tanpa kehadiran Mohamed Salah pada saingan musim baharu nanti.

Pengurus baharu, Andoni Iraola perlu mencari ramuan terbaik menggabungkan pemain-pemain bintang bernilai tinggi untuk membentuk pasukan yang ampuh sekiranya enggan menerima nasib yang sama dengan Arne Slot yang dipecat.

United pula berada di kedudukan keempat sebagai calon pilihan untuk meraih kejuaraan dengan 6.2% kebarangkalian selepas mereka mempamerkan kebangkitan musim lalu untuk mengakhiri saingan di kedudukan ketiga.

Kehadiran Michael Carrick pada Januari lalu yang berjaya mengutip 39 mata dalam 17 perlawanan menerusi 12 kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan menyebabkan para peminat mereka mempunyai sebab untuk berasa optimis biarpun ramalan superkomputer tidak berpihak.

Selain itu, Aston Villa menjadi pilihan kelima dengan kebarangkalian 4.8%, diikuti rapat oleh Chelsea (4.1%), manakala Tottenham Hotspur diberikan peluang 2.9%.

The post Superkomputer pilih Arsenal juara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved