sarah06/11/2026 - 12:23 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal dilengkapi teknologi pengimbas badan dan bagasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada 17 langkah keselamatan yang diluluskan kerajaan bagi memperketat kawalan serta membendung kegiatan penyeludupan dadah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2026 telah meluluskan memorandum bersama KDN dan Kementerian Pengangkutan bagi meningkatkan tahap keselamatan KLIA secara berperingkat.
Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis KDN kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang meminta kerajaan memperincikan langkah memperkukuh keselamatan KLIA susulan peningkatan enam kali ganda nilai rampasan dadah di lapangan terbang berkenaan kepada RM108.35 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026.
Menurut KDN, pelan tindakan tersebut merangkumi tiga aspek utama, iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan dan perlindungan fizikal, yang akan dilaksanakan menerusi tiga fasa mengikut keperluan dan tempoh pelaksanaan.
Unit anjing pengesan dadah ditempatkan di kawasan berisiko
Bagi fasa pertama yang melibatkan tindakan jangka pendek, kerajaan akan memperketat proses tapisan keselamatan e-Vetting untuk pas keselamatan, melaksanakan ujian dadah secara rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan serta meningkatkan kehadiran anggota polis di kawasan lapangan terbang.
Langkah itu turut merangkumi cadangan penempatan semula Unit Anjing Pengesan Dadah (K9) Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di kawasan pelepasan khas serta lokasi pengendalian bagasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Pengimbas AI dan kamera pintar diperkenalkan
Dalam fasa kedua yang dijangka mengambil masa antara enam hingga 24 bulan, kerajaan akan meningkatkan keupayaan keselamatan melalui perolehan pengimbas bagasi berkuasa tinggi, pengimbas badan serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi keupayaan analisis AI.
Bagi fasa ketiga yang melibatkan tempoh melebihi 24 bulan, sistem keselamatan akan dimodenkan secara menyeluruh, termasuk menggantikan pengimbas bagasi dan badan dengan teknologi AI generasi baharu di semua pintu masuk negara serta mengubah suai infrastruktur terminal dan kargo berdasarkan tahap risiko.
Pelan jangka panjang itu turut merangkumi penubuhan Pusat Pemerintahan Imigresen Nasional (NICC) sebagai pusat risikan negara, selain memperluas piawaian kawalan keselamatan bersepadu ke semua pintu masuk udara, darat dan laut.- DagangNews.com






