Ujian dadah rawak perkukuh keselamatan KLIA

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 12:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ujian dadah rawak perkukuh keselamatan KLIA

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan ujian dadah rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan merupakan antara langkah yang digariskan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu terkandung dalam fasa pertama pelan keselamatan bagi tempoh sifar hingga enam bulan yang menumpukan penutupan kelompongan kawalan menggunakan punca kuasa, anggota dan aset sedia ada secara optimum.

Katanya, fasa itu turut merangkumi pengetatan tapisan e-Vetting bagi pas keselamatan, pusingan kerja berkala petugas zon terhad serta peningkatan kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Fasa ini turut merangkumi cadangan penempatan semula Unit K9 Narkotik PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di zon pelepasan khas dan bagasi berisiko.

“Selain itu, integrasi risikan pengembara menerusi National Immigration Command Centre (NICC) turut digariskan dalam fasa pertama,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung langkah memperkukuh protokol keselamatan di KLIA susulan peningkatan rampasan dadah serta sama ada Malaysia menjadi transit sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah antarabangsa.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Jemaah Menteri meluluskan memorandum bersama kementeriannya dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pelan keselamatan itu pada 19 Ogos lalu susulan beberapa insiden keselamatan di pintu masuk negara khususnya KLIA.

Katanya, pelan itu merangkumi 17 syor substantif berteraskan tiga teras utama iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.

“Fasa kedua bagi tempoh enam hingga 24 bulan pula memberikan tumpuan kepada pembinaan keupayaan baharu serta perolehan aset strategik berteknologi tinggi termasuk pembekalan pengimbas bagasi berkuasa tinggi dan pengimbas badan.

“Turut digariskan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berkeupayaan analitik kecerdasan buatan (AI), pengukuhan Unit K9 PDRM, integrasi data NICC serta pemantapan latihan tenaga kerja berkemahiran khusus,” katanya.

Bagi fasa ketiga yang meliputi tempoh melebihi 24 bulan, beliau berkata, pemodenan sistem keselamatan nasional merangkumi penggantian pengimbas bagasi dan badan generasi baharu berteknologi AI di seluruh pintu masuk negara.

“Fasa ini turut melibatkan pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko, penegasan peranan NICC sebagai pusat risikan nasional serta peluasan piawaian kawalan keselamatan yang seragam dan bersepadu di semua pintu masuk udara, darat dan laut,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Malaysia dikenal pasti berdepan ancaman dieksploitasi sebagai salah satu laluan transit penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa berdasarkan hasil risikan serta tindakan penguatkuasaan PDRM.

Katanya, kedudukan geografi strategik serta jaringan pengangkutan udara, darat dan maritim yang luas berpotensi dimanfaatkan sindiket jenayah terancang untuk membawa masuk dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan atau dihantar ke negara destinasi lain.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus mempergiatkan risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap keseluruhan rangkaian sindiket, termasuk pembekal, pengatur pergerakan, pembiaya dan pengedar.

“Kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa serta kawalan di lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat turut diperkukuh bagi membendung aktiviti penyeludupan,” katanya. -UTUSAN

The post Ujian dadah rawak perkukuh keselamatan KLIA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved