KLIA kekal sebagai hab penerbangan ke-4 paling terhubung di dunia - Indeks Megahub OAG 2026

23 Sep 2026 • 4:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KLIA kekal sebagai hab penerbangan ke-4 paling terhubung di dunia - Indeks Megahub OAG 2026 Image from: KLIA kekal sebagai hab penerbangan ke-4 paling terhubung di dunia - Indeks Megahub OAG 2026 amree23/09/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept — Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab penerbangan utama dengan mengekalkan tempat keempat paling terhubung di dunia dan kekal paling terhubung di rantau Asia Pasifik dalam Indeks Megahub OAG 2026.

 

Kedudukan itu mencerminkan perkembangan berterusan rangkaian penerbangan, dengan kapasiti lapangan terbang tersebut meningkat kira-kira 6.9%, selain pertambahan syarikat penerbangan serta laluan baharu yang menghubungkan Malaysia kepada lebih banyak destinasi antarabangsa.

 

Menurut laporan terbaharu platform data penerbangan global yang berpangkalan di Britain itu, KLIA sudah menerima sebanyak tujuh syarikat penerbangan berjadual baharu dengan tambahan sembilan laluan baharu setakat ini, termasuk sambungan ke Riyadh, Algeria dan Jinan.

 

"Malaysia Airlines turut memperkukuh hubungan penerbangan dengan Jepun menerusi perkhidmatan terus baharu dari Fukuoka ke Kuala Lumpur, manakala kedua-dua terminal KLIA dijangka terus berkembang dengan kemasukan Gulf Air, Hainan Airlines, Zipair dan Thai Vietjet," kata OAG.

 

Lufthansa juga jelasnya, dijangka kembali beroperasi di KLIA pada Oktober 2026 menerusi laluan Frankfurt-Kuala Lumpur dengan kekerapan lima kali penerbangan seminggu, sekali gus menambah pilihan sambungan antara Malaysia dan pasaran Eropah menerusi Jerman.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan KLIA bukan sekadar menambah destinasi, sebaliknya disokong pengalaman penumpang serta kapasiti seiring peningkatan trafik dan rangkaian syarikat penerbangan.

 

KLIA_DagangNews2026

 

Katanya, kedudukan KLIA dalam kalangan hab mega udara paling terhubung di dunia mencerminkan kekuatan rangkaian penerbangannya hasil kerjasama semua syarikat penerbangan, pasukan lapangan terbang tersebut dan pemain industri yang berkaitan.

 

"Pada masa sama, MAHB terus melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang, termasuk menaik taraf kemudahan daftar masuk dan serahan bagasi kendiri serta memperkemas pengurusan trafik di kawasan hentian," jelasnya.

 

KLIA tambah beliau, turut memperkenalkan sistem e-hailing baharu di Terminal 1, selain menyediakan lebih banyak troli penumpang, kerusi roda dan kereta sorong bayi secara percuma serta kemudahan di terminal yang mesra keluarga.

 

Di Terminal 2 pula, kemudahan baharu seperti Calm Room dan Harimau Playground diperkenalkan, manakala tarikan RIMBA dan Heritage Walls menambah elemen alam semula jadi serta budaya dalam pengalaman perjalanan penumpang.

 

Dengan rangkaian penerbangan yang semakin kukuh, peningkatan pengalaman penumpang dan pelaburan dalam kapasiti, KLIA kini berada pada kedudukan strategik untuk terus menghubungkan Malaysia dengan lebih banyak destinasi, penumpang dan peluang di seluruh dunia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved