Sepang Aircraft Engineering raih kontrak selenggara pesawat Cebu Pacific di KLIA

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sepang Aircraft Engineering raih kontrak selenggara pesawat Cebu Pacific di KLIA Image from: Sepang Aircraft Engineering raih kontrak selenggara pesawat Cebu Pacific di KLIA amree23/09/2026 - 17:10 (DARI kiri) Shevantha Weerasekera bertukar-tukar dokumen dengan Burhanudin Noordin Ali di Singapura. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept — Anak syarikat milik penuh Airbus, Sepang Aircraft Engineering (SAE) mengukuhkan kedudukan dalam industri penyelenggaraan pesawat serantau selepas memperoleh kontrak selama 12 tahun daripada syarikat penerbangan Filipina, Cebu Pacific.

 

Tender baharu berkenaan meliputi model A320 milik operator penerbangan tersebut dengan kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan di fasiliti pemeriksaan pesawat diuruskan SAE di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, Selangor.

 

Perjanjian berkenaan diumumkan dalam satu program di Singapura pada 23 September 2026, sekali gus memperkukuh hubungan sedia ada antara SAE dan Cebu Pacific dalam penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

 

"Sebelum ini, SAE sudah melaksanakan kerja penyelenggaraan berat dan pemeriksaan secara 'ad hoc', termasuk melibatkan pertukaran enjin pesawat serta penggantian panel badan pesawat untuk Cebu Pacific," jelas syarikat berkenaan dalam kenyataan.

 

SAE turut menyokong operasi penyelenggaraan Cebu Pacific di ibu negara Filipina, Manila menerusi penempatan juruteranya terus di lokasi bagi menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap armada syarikat penerbangan tersebut apabila diperlukan.

 

Pengurus Besar SAE merangkap Wakil Negara Airbus bagi Malaysia, Burhanudin Noordin Ali berkata, hubungan kerjasama antara SAE dan Cebu Pacific yang semakin kukuh mencerminkan kepercayaan syarikat penerbangan itu terhadap keupayaan penyelenggaraan SAE.

 

Cebu Pasific_DagangNews2026

 

Katanya, perjanjian terbaharu itu merupakan tanda keyakinan Cebu Pacific terhadap kualiti kerja yang dilaksanakan SAE, selain menunjukkan sokongan berterusan syarikat penerbangan berkenaan terhadap penyedia perkhidmatan MRO tersebut.

 

Naib Presiden Kejuruteraan dan Pengurusan Armada Cebu Pacific, Shevantha Weerasekera pula berkata, aspek keselamatan, kelayakan terbang dan kebolehpercayaan armada kekal menjadi keutamaan operasi syarikat penerbangan berkenaan.

 

"Kerjasama berterusan dengan SAE memberikan Cebu Pacific pelbagai akses kepada segala kepakaran MRO yang dipercayai bagi menyokong kerja penyelenggaraan dan kelayakan terbang armada A320 milik syarikat ini sendiri," jelas beliau.

 

Ujarnya, kepakaran rakan penyelenggaraan berpengalaman turut penting bagi memastikan pesawat yang dikembalikan kepada pihak pemajak memenuhi piawaian ditetapkan dan berada dalam keadaan optimum untuk proses penyerahan semula yang lancar serta cekap.

 

SAE mengkhusus dalam perkhidmatan MRO bagi pesawat komersial, enjin serta komponen, dengan fasiliti di KLIA merangkumi dua hangar seluas 50,000 meter persegi yang mampu menempatkan lapan pesawat pada satu-satu masa untuk kerja penyelenggaraan utama. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved