Klinik kesihatan baharu dicadang di Bandar Mahkota Cheras

LocalHealth & Fitness
12 Aug 2026 • 1:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Klinik kesihatan baharu dicadang di Bandar Mahkota Cheras

SHAH ALAM, 12 OGOS: Klinik Kesihatan Bandar Mahkota Cheras Jenis 3 dicadang dibangunkan bagi memenuhi keperluan 86,086 penduduk setempat, sekali gus mengurangkan kesesakan di beberapa klinik kesihatan berhampiran.

EXCO Kesihatan Awam berkata cadangan pembangunan fasiliti itu dikenal pasti sebagai antara projek keutamaan dalam Perancangan Pelan Induk Fasiliti Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) 2024-2045 (Pindaan 2026).

Menurut Jamaliah Jamaluddin, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat mengenal pasti tapak seluas kira-kira tiga ekar milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai lokasi berpotensi bagi pembangunan klinik berkenaan.

“Cadangan ini telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14), manakala Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat kini dalam proses melengkapkan kertas kerja bagi permohonan pindah milik tanah daripada KPM kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pembangunan ini bertujuan memenuhi keperluan penduduk Bandar Mahkota Cheras selain mengurangkan beban perkhidmatan di beberapa klinik kesihatan berhampiran yang masing-masing mencatatkan jumlah kehadiran pesakit harian yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Kajang Cheong Kian Young berhubung kemudahan fasiliti kesihatan di Kajang dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Jamaliah berkata, keperluan fasiliti baharu itu semakin penting susulan pertambahan penduduk di Bandar Mahkota Cheras yang kini berjumlah 86,086 orang.

Katanya, Klinik Kesihatan Kajang, Klinik Kesihatan Batu 9, Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn dan Klinik Kesihatan Sungai Chua antara fasiliti menerima kehadiran pesakit yang tinggi setiap hari.

Justeru, katanya, pembangunan klinik baharu itu dijangka menjadi fasiliti tambahan bagi meningkatkan akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan primer serta mengurangkan kesesakan di klinik berhampiran.

Beliau berkata, JKNS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mempercepat perancangan dan pelaksanaan projek berkenaan mengikut keutamaan pembangunan negara serta ketersediaan peruntukan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia.

“Sekiranya projek ini diluluskan dan dilaksanakan, ia dijangka dapat memperbaiki masa menunggu pesakit serta memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, selesa dan berkualiti sejajar dengan pertumbuhan pesat penduduk di kawasan Cheras dan Kajang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved