KLK dijangka raih keuntungan sekitar RM260 juta daripada pelupusan tanah bagi projek KLK TechPark - AmInvest

08/10/2025 - 11:51
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Okt - Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dijangka meraih keuntungan sekitar RM260 juta daripada pelupusan tanah seluas 60.7 hektar bagi pembangunan projek perindustrian mega KLK TechPark di Tanjung Malim, Perak.
AmInvestment Bank Berhad (AmInvest) berkata, keuntungan daripada transaksi tersebut akan diiktiraf dalam tahun kewangan 2026 (FY26) dan walaupun keuntungan itu bersifat bukan teras, ia tidak dimasukkan dalam unjuran keuntungan bersih KLK bagi FY26.
Katanya, KLK TechPark dijangka menarik minat syarikat automotif dan komponen kenderaan berikutan BYD menjadi pelabur utama di taman perindustrian itu.
Firma penyelidikan itu berkata, kawasan perindustrian berteknologi tinggi itu juga berhampiran dengan Proton/Geely Automotive High Tech Valley, sekali gus memperkukuh daya tarikan rantau Tanjung Malim sebagai hab automotif baharu negara.
“Projek ini dijangka menjadi pemangkin utama transformasi perniagaan KLK dalam sektor hartanah industri, memandangkan permintaan untuk kawasan perindustrian automotif dan tenaga baharu semakin meningkat,” katanya dalam satu nota kajian.
Buat masa ini, KLK dijangka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan KLK TechPark dan seperti Sime Darby Plantation, KLK memiliki simpanan tanah yang besar yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian.
Kawasan itu antaranya di Kerling, Sungai Buloh dan Hulu Selangor – meliputi 3,760 hektar dan Kulai, Johor – meliputi 1,915 hektar.
Jika dinilai mengikut harga pasaran semasa, keseluruhan tanah ini dianggarkan bernilai RM8.9 bilion atau RM7.98 sesaham.
Bagaimanapun, AmInvest menjangkakan KLK akan menumpukan sumber terhadap penyediaan infrastruktur TechPark terlebih dahulu manakala kilang pemasangan CKD BYD di TechPark dijangka memulakan operasi pada separuh kedua 2026 (2H2026).
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, dari segi operasi, segmen hiliran dan oleokimia KLK, termasuk pegangan 26.9% dalam Synthomer, dijangka terus berdepan persekitaran mencabar.
Katanya, permintaan di Eropah kekal perlahan manakala kos pengeluaran meningkat ketara.
Harga minyak isirung sawit mentah (CPKO), bahan utama pembuatan oleokimia, melonjak 49% tahun ke tahun (YoY) dalam tempoh lapan bulan pertama 2025 (8M2025). Selain itu, harga gas di Eropah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding China dan Amerika Syarikat.
Susulan itu, pendapatan operasi segmen pembuatan KLK dijangka merosot sebanyak 68% dalam FY25 dengan Eropah kini menyumbang kira-kira 25% daripada kapasiti pengeluaran oleokimia kumpulan.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM20.70 sesaham," katanya. - DagangNews.com
standard

