Binastra dijangka catat hasil lebih kukuh pada 3QFY26 dipacu projek hartanah di Johor - AmInvest

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2025 • 4:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Binastra dijangka catat hasil lebih kukuh pada 3QFY26 dipacu projek hartanah di Johor - AmInvest

image is not available

23/09/2025 - 16:31

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Binastra Corporation Berhad dijangka mencatatkan hasil lebih kukuh pada 3QFY26 dipacu sumbangan daripada projek pusat data, pelancaran hartanah baharu di Johor serta penglibatan dalam projek tenaga solar.

AmInvestment Bank Berhad (AmInvest) berkata, pada 1HFY26, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM53.5 juta, bersamaan 40% daripada unjuran setahun penuh, sekali gus berada dalam jangkaan.

Katanya, walaupun margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) menurun 2.5 mata peratusan tahun ke tahun kepada 10.9% akibat pengiktirafan lebih tinggi daripada kerja mekanikal dan elektrikal untuk projek pusat data, pendapatan syarikat melonjak 59.2% manakala keuntungan bersih teras meningkat 30.8%.

Firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan Binastra akan terus naik pada 2HFY26, dengan momentum positif daripada pusat data yang semakin berkembang, projek hartanah di Johor serta peluang daripada kontrak tenaga solar.

"Dengan buku tempahan berjumlah RM4.6 bilion setakat ini, syarikat mempunyai tahap keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

"Kami menyukai Binastra kerana pendedahannya kepada pasaran hartanah Johor yang sedang pesat berkembang dan segmen pusat data, serta strateginya untuk membina asas pendapatan berulang melalui pemilikan aset LSS5," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 24.3% pada 2QFY26 dipacu aktiviti pembinaan yang lebih tinggi serta pelancaran dua lagi projek baharu sepanjang tempoh tiga bulan tersebut.

Kumpulan pembinaan tersebut turut mencatatkan lonjakan hasil kira-kira 71.9% kepada RM396.8 juta, manakala keuntungan kasar pula didapati meningkat 23.3% kepada sebanyak RM37.6 juta.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa, hasil meningkat 59.2% kepada RM653.7 juta, dipacu kemajuan projek sedia ada dan buku tempahan kerja.

Memandang ke hadapan, firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan itu akan mengekalkan kadar pembayaran dividen sebanyak 60%, dengan hasil antara 3.7% hingga 6% bagi FY26 hingga FY28, disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh serta pulangan ekuiti (ROE) yang tinggi.

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.70 sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard