
KUALA LUMPUR: Program konvoi patriotik, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) akan menjelajah enam kawasan di sekitar ibu negara bermula hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu bermula di Parlimen Lembah Pantai, iaitu di Taman Seri Sentosa.
Beliau berkata, antara enam persinggahan yang akan dilawati ialah Taman Tasik Metropolitan Kepong, Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Hospital Rehabilitasi Cheras, Petronas Cochrane Perkasa dan berakhir di NZ Curry House, Wangsa Maju.
“Edisi kali ini menyaksikan lebih 35 orang peserta dan melibatkan 10 kenderaan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Di setiap persinggahan, kit ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ akan diedarkan kepada wakil kluster,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Fahmi berkata, masyarakat turut akan dipersembahkan dengan persembahan kebudayaan, lagu-lagu patriotik, kuiz kenegaraan, persembahan pentarama dan gimik seperti aktiviti turun tali oleh pasukan bomba.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada pihak JaPEN Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ini antara program untuk menyemarakkan lagi semangat rasa cinta pada negara, memberi aktiviti kepada komuniti termasuk komuniti Madani.
“Dan merapatkan hubungan di antara pelbagai komuniti. Saya percaya ini akan mampu menambah rasa cinta pada negara dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena bulan kebangsaan.-UTUSAN
The post KMJG semarak patriotisme, jelajah enam lokasi di ibu negara appeared first on Utusan Malaysia.






