Jalur Gemilang gergasi berkibar di puncak Bukit Besar

21 Aug 2026 • 11:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jalur Gemilang gergasi berkibar di puncak Bukit Besar
Kira-kira 300 peserta menyemarakkan Program Pendakian Semarak Merdeka Anggota Beruniform Bersama Media 2026 ke Puncak Bukit Besar di Kuala Terengganu pada Khamis.
Image from: Jalur Gemilang gergasi berkibar di puncak Bukit Besar
Sebahagian peserta yang memeriahkan Program Pendakian Semarak Merdeka Anggota Beruniform Bersama Media 2026 ke Puncak Bukit Besar di Kuala Terengganu pada Khamis.
Image from: Jalur Gemilang gergasi berkibar di puncak Bukit Besar
Zaid mengibarkan Jalur Gemilang sebaik tiba di puncak bukit sempena Program Pendakian Semarak Merdeka Anggota Beruniform Bersama Media 2026 ke Puncak Bukit Besar di Kuala Terengganu pada Khamis.
Image from: Jalur Gemilang gergasi berkibar di puncak Bukit Besar
Sebahagian peserta cilik yang memeriahkan Program Pendakian Semarak Merdeka Anggota Beruniform Bersama Media 2026 ke Puncak Bukit Besar, di Kuala Terengganu pada Khamis.

​KUALA TERENGGANU - Semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan terus disemarakkan menerusi penganjuran Program Pendakian Semarak Merdeka Anggota Beruniform Bersama Media 2026 ke Puncak Bukit Besar di sini.

​Program julung kali anjuran Kelab Media Perdana Terengganu (METRA) pada petang Khamis itu berjaya menghimpunkan seramai 300 peserta terdiri daripada lapan pasukan beruniform, warga media serta penggiat aktiviti pendakian.

​Lebih menarik, bendera Jalur Gemilang gergasi bersaiz 12x24 meter turut dikibarkan di puncak bukit berkenaan sebagai simbolik penyatuan dan rasa cinta terhadap negara.

​Presiden METRA, Zaid Mohd Noor berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti riadah biasa, sebaliknya menjadi platform terbaik untuk memupuk gaya hidup sihat selain meningkatkan kecergasan fizikal para peserta.

​"Pada masa sama, program ini menjadi medium untuk memperkukuh hubungan, ukhuwah dan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, pasukan keselamatan serta pengamal media.

​"Penglibatan pelbagai agensi dalam program ini turut mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama rentas agensi yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

**media[3621550]**

​Antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang menjayakan program itu termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu.

​Turut hadir memberikan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad; serta Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid.

**media[3621557]**

​Hadir sama, Pegawai Memerintah (CO) ke-27 Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA), Leftenan Kolonel Shah Hadi Shah Budin; Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Terengganu, Yusnani Dahlan; dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Kuala Terengganu, Muhammad Hanafi Hamdzah.

Dalam pada itu, Zaid berkata, pihaknya berharap program seumpama itu dapat diadakan sebagai acara tahunan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan sekali gus memperingati tarikh penting dalam sejarah negara sebagai tatapan generasi akan datang.

**media[3621558]**

​"METRA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan serta membantu menjayakan program ini.

​"Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu medium untuk menyemarakkan semangat cintakan negara menerusi aktiviti sihat dan bermanfaat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved