amree31/07/2026 - 18:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai – Syarikat pembungkusan label, Komarkcorp Berhad menjual hartanah industri di Cheras, Selangor yang dianggap terlalu besar berbanding skala operasi semasa syarikat tersebut.
Langkah ini diambil bagi mengurangkan kos operasi hartanah yang tidak digunakan dan memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan menerusi anak syarikat miliknya, Komark International (M) Sdn Bhd.
Jelasnya, subsidiari tersebut memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan QM Print Sdn Bhd untuk melupuskan hartanah pegangan bebas tersebut pada pertimbangan tunai sebanyak RM40.00 juta.
"Hartanah ini merangkumi sebuah kilang berkembar dua tingkat bersama pejabat tiga tingkat di Taman Cheras Jaya melibatkan kawasan tanah seluas kira-kira 13,761 meter persegi," kata Komarkcorp.
Menurut syarikat berkenaan, sebahagian besar ruang pengeluaran, penyimpanan, dan pejabat di lokasi tersebut sudah lama tidak digunakan secara optimum berdasarkan keperluan operasi pada masa kini.
Justeru, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi, ia akan memindahkan operasinya ke premis sewaan bersaiz lebih kecil seluas kira-kira 2,044 meter persegi di kawasan perindustrian yang sama.
Perpindahan tapak ini ujar Komarkcorp, dijangka membolehkan ruang dapat digunakan dengan lebih cekap dan menjimatkan komitmen modal yang amat besar berbanding langkah pembelian hartanah baharu.
"Dari sudut kewangan, syarikat dijangka mencatatkan kerugian bersih RM5.67 juta, namun harga jualan itu adalah setara dengan nilai pasaran yang dinilai oleh firma penilai bebas pada 9 Julai 2026," katanya.
Kerugian tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada anggaran perbelanjaan pelupusan sebanyak RM5.2 juta, termasuk cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan yuran profesional berkaitan.
Bagaimanapun syarikat berkenaan menegaskan manfaat jangka panjang daripada jualan ini mengatasi kerugian sekali gus tersebut, dengan RM31.6 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja. - DagangNews.com




