Kompaun ANPR letak kenderaan luar petak boleh dituntut semula

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 5:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kompaun ANPR letak kenderaan luar petak boleh dituntut semula

GEORGE TOWN : Semua kompaun bagi kesalahan meletak kenderaan di luar petak yang diterima menerusi sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini boleh dituntut semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) bersetuju membenarkan proses tuntutan bayaran balik bagi kompaun tersebut dibuat iaitu sehingga 30 September depan.

“Pembatalan kesemua kompaun itu terpaksa dibuat bagi memastikan tidak wujud sebarang pertikaian atau percanggahan berhubung pelaksanaan sistem ANPR di Pulau Pinang ketika ini.

“Jadi, buat masa sekarang, kita (PBT) tidak akan menggunakan ANPR untuk mengeluarkan saman. Memang tidak ada. Semua saman perlu dikeluarkan secara manual,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini telah mengarahkan supaya pelaksanaan sistem ANPR bagi penguatkuasaan kawasan letak kenderaan milik kedua-dua PBT di Pulau Pinang dihentikan serta-merta bermula semalam.

Difahamkan, jumlah bayaran kompaun yang telah diterima oleh MBPP bagi kesalahan tersebut antara tempoh Januari 2025 sehingga awal bulan ini adalah sebanyak RM266,160 manakala jumlah bayaran kompaun yang diterima MBSP bagi kesalahan yang sama bagaimanapun tidak diperolehi buat masa ini.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, bagi membuat tuntutan bayaran balik, pengguna perlu mengemukakan resit bayaran kompaun dan salinan penyata bank kepada PBT masing-masing untuk membolehkan proses bayaran balik dibuat.

“Jika kompaun dibayar menerusi aplikasi Penang Smart Parking (PSP), bayaran balik akan diproses secara automatik ke dalam akaun ‘wallet’ PSP pengguna manakala bagi pembayaran yang dibuat melalui kiosk atau saluran lain pula, pengguna sendiri perlu hadir ke kaunter atau menggunakan saluran dalam talian yang disediakan untuk membuat tuntutan,” katanya.-UTUSAN

The post Kompaun ANPR letak kenderaan luar petak boleh dituntut semula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved