Sultan Selangor mahu UiTM lahir ramai pemilik ekonomi

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 11:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sultan Selangor mahu UiTM lahir ramai pemilik ekonomi

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan pemilik ekonomi, bukan sekadar pencari pekerjaan.

Baginda bertitah, UiTM tidak boleh sekadar meneruskan kejayaan melahirkan kelas profesional Bumiputera, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi usahawan, inovator dan pemimpin industri.

“Beta mahu UiTM melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dan pemilik ekonomi, bukan sekadar pencari pekerjaan.

“Jika dahulu UiTM memainkan peranan besar melahirkan kelas profesional Bumiputera, maka pada masa hadapan UiTM mesti membantu melahirkan lebih ramai usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing pada peringkat serantau dan antarabangsa,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Titah Diraja ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di UiTM di sini, malam ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, keupayaan UiTM melahirkan golongan profesional Bumiputera bukan sekadar retorik, sebaliknya realiti yang dibuktikan menerusi angka dan pencapaian jelas.

Titah baginda, keberadaan alumni UiTM sebagai nakhoda industri dan teknokrat berwawasan menjadi bukti bahawa acuan pendidikan universiti itu mampu melahirkan pemimpin yang kental, berdaya saing serta sarat dengan nilai jati diri.

Tegas baginda, peningkatan jumlah profesional Bumiputera amat penting bagi mengimbangi jurang penyertaan anak bangsa dalam bidang strategik, selaras dengan matlamat asal penubuhan UiTM.

“Beta berasa amat bangga melihat pencapaian cemerlang UiTM yang kini berdiri megah serta membanggakan bangsa dan negara.

“Institusi keramat ini telah membuktikan keupayaannya memberikan khidmat bakti apabila para lulusannya kini tidak lagi sekadar menjadi penonton sejarah, sebaliknya menjadi penggerak utama, tokoh korporat dan pemimpin ternama di peringkat nasional mahupun persada global,” titahnya.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan, agar UiTM memperkukuhkan budaya kecemerlangan, integriti, disiplin dan merit dalam kalangan warga universiti.

“Jangan sesekali kita menggunakan agenda Bumiputera sebagai alasan untuk menerima sesuatu yang sederhana atau kurang berkualiti.

“Kita tidak boleh selama-lamanya meminta dunia memberikan ruang kepada kita. Generasi Melayu dan Bumiputera akan datang mesti dipersiapkan sehingga mereka mempunyai ilmu, kepakaran, keyakinan dan daya saing yang membolehkan mereka merebut ruang itu dengan kemampuan mereka sendiri, ” tegasnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mencabar setiap pelajar dan graduan UiTM untuk sekurang-kurangnya menguasai dua bahasa asing.

“Ini kerana persaingan graduan dalam pasaran pekerjaan kini amatlah sengit, dan dengan menguasai lebih banyak bahasa ia mampu membezakan kualiti yang menjadi ukuran utama kejayaan UiTM, bukan kuantiti graduan semata- mata,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Sultan Selangor mahu UiTM lahir ramai pemilik ekonomi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved