KOTA BHARU – Kesan konflik yang berlaku di Asia Barat terhadap bekalan makanan negara dijangka dapat diketahui dalam tempoh seminggu lagi selepas kerajaan mengarahkan satu laporan penilaian disediakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah mengarahkan pegawai di peringkat sekuriti makanan serta bahagian antarabangsa untuk menilai impak peperangan tersebut khususnya berkaitan kenaikan harga minyak.
Menurut beliau, laporan berkenaan penting bagi menilai sama ada konflik di Asia Barat itu akan memberi kesan besar kepada bekalan makanan negara dalam masa terdekat.
"Setakat ini Malaysia tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari negara Asia Barat kerana kebanyakan sumber makanan diperoleh daripada negara lain.
"Antara rakan dagangan utama sektor pertanian negara ialah ASEAN, India, Pakistan, Australia, New Zealand, Brazil dan China," katanya kepada pemberita ketika merasmikan Program Sentuhan Agro Madani: Karnival Cahaya Aidilfitri KPKM 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini pada Jumaat.
Mohamad berkata, bagi bahan makanan, Malaysia lebih banyak mengimport daripada negara terbabit berbanding negara Asia Barat.
Menurutnya, eksport makanan ke rantau Asia Barat memang ada, namun jumlahnya tidak besar.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan konflik tersebut memberi kesan tidak langsung kepada harga makanan susulan peningkatan harga minyak global.
"Saya yakin kalau ada kesan pun ia tidak terlalu besar kerana perdagangan di kawasan tersebut lebih berkait dengan minyak.
"Namun kenaikan harga minyak mungkin memberi kesan kepada bahan makanan dan kita akan lihat impak awal dalam tempoh satu hingga dua minggu," katanya.
Beliau berkata, laporan yang disediakan pegawai kementerian dijangka siap minggu depan bagi menilai situasi sebenar kesan konflik berkenaan terhadap sektor makanan negara.




