SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengakui penggunaan teknologi pengurusan air moden dari beberapa negara maju membantu memperkukuh usaha menangani banjir di negeri ini, namun pendekatan itu tidak boleh disamakan secara terus dengan keadaan tempatan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Datuk Ir Izham Hashim berkata, setiap teknologi termasuk Belanda, China dan Jerman yang diguna pakai perlu disesuaikan dengan realiti geografi Selangor yang menerima taburan hujan tinggi serta berdepan pembangunan pesat di kawasan bandar.
Beliau berkata, walaupun Selangor mengambil contoh pelbagai model pengurusan air antarabangsa termasuk konsep berasaskan alam semula jadi serta sistem bandar pintar, namun faktor hujan tahunan lebih tinggi berbanding negara seperti Belanda menjadikan cabaran lebih kompleks.
"Di Belanda, hujan mereka sekitar 700 hingga 900 milimeter setahun, sedangkan Selangor mencecah hampir 3,000 milimeter iaitu empat kali ganda dan ini merupakan perbezaan besar,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan keperluan infrastruktur pengurusan air di Selangor jauh lebih mencabar terutama dalam aspek kapasiti saliran, kolam takungan dan sistem pam di kawasan rendah.
"Walaupun kita guna teknologi dari luar negara, kita kena realistik. Struktur tanah, kepadatan pembangunan dan jumlah hujan kita jauh berbeza,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.
Izham berkata, kerajaan negeri turut meneliti pelbagai pendekatan termasuk teknologi dari China untuk pembangunan bandar pintar serta sistem dari Jerman di kawasan Hulu Selangor, selain kerjasama kepakaran antarabangsa seperti Deltares dari Belanda dalam penyediaan pelan induk air negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan semua pendekatan itu tetap perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan agar sistem pengurusan air di Selangor lebih berkesan dalam jangka panjang.
"Paling penting bukan sekadar ambil teknologi, tetapi bagaimana kita sesuaikan dengan keadaan sebenar di Selangor," ujar beliau.
Jelas beliau, semua pandangan termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihormati, namun kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pelan Induk Air dan Pelan Induk Banjir yang sedang dirangka dan dilaksanakan secara berperingkat.
"Projek tebatan banjir ini bukan boleh siap dalam sebulan atau setahun. Secara minimum ia ambil masa tiga hingga empat tahun dari peringkat perancangan hingga siap,” katanya.
Menurutnya, ketika ini nilai keseluruhan projek tebatan banjir di Selangor mencecah kira-kira RM4 bilion dan sedang dilaksanakan mengikut fasa di pelbagai kawasan.
Izham berkata, orang ramai boleh menyemak perkembangan projek tersebut secara terbuka melalui portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memaparkan kemajuan setiap projek secara telus.
Mengulas cadangan penyelesaian banjir kilat, Izham menjelaskan, kaedah utama yang realistik ketika ini ialah pembinaan kolam takungan air termasuk kolam bawah tanah jika kekangan tanah berlaku.
"Banjir kilat ini fenomena berbeza. Hujan terlalu lebat dalam masa singkat menyebabkan longkang dan sungai tidak mampu tampung.
Jadi kita perlu simpan air dahulu dalam kolam takungan sebelum dipam keluar,” katanya.<
Beliau turut menjelaskan, Selangor kini mempunyai lebih 600 kolam takungan termasuk kolam semula jadi dari lombong.
"Selain itu, sebanyak 185 kolam yang telah diaudit bagi tujuan pengurusan air lebih berkesan," tambah beliau.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Baginda bertitah, isu banjir bukan perkara baharu malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.
