.jpg)
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki Rohingya maut ditikam manakala seorang wanita cedera dalam satu insiden di sebuah rumah di Taman Belibis, Nibong Tebal, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian rumah tangga, namun motif sebenar masih dalam siasatan.
Menurut beliau, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.20 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun mengalami beberapa kesan tikaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang wanita berusia 26 tahun yang turut berada di lokasi kejadian mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan,” katanya hari ini.
Jay berkata, mayat mangsa turut dibawa ke HSJ untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Dua lagi individu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Unit Forensik telah menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mengumpul bahan bukti bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran telah diperoleh dan sedang dianalisis bagi mengenal pasti kronologi serta membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Rizal Abd Rashid atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 1 Jun 2026






