
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yakin lebih 4,000 perwakilan parti itu yang akan menghadiri Kongres DAP pada 16 Ogos ini akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan dan kestabilan negara.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang telah berjuang selama 60 tahun, ahli-ahli DAP kini mempunyai kematangan politik untuk mengundi berdasarkan kepentingan nasional dan kestabilan negara.
“Saya yakin, sebagai sebuah parti yang cintakan negara, sebuah parti yang berjuang sekian lama 60 tahun, saya yakin kebijaksanaan 4,000 lebih perwakilan tersebut.
“Mereka akan mengundi mengikut kepentingan negara, menjaga kestabilan negara dan membuat pilihan yang paling bijaksana selaras dengan kestabilan negara.
“Itu kepercayaan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus sama ada menyokong menteri dan timbalan menteri DAP untuk kekal atau keluar daripada kerajaan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa kongres khas parti itu pada 16 Ogos ini akan membolehkan perwakilan menentukan pendirian parti sama ada kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa atau sebaliknya.
Kongres itu diadakan setelah DAP mencatatkan kemerosotan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor dan Negeri Sembilan yang turut menyaksikan Loke kalah di DUN Chennah. – UTUSAN
The post Kongres DAP: Kor Ming yakin perwakilan utamakan kestabilan negara appeared first on Utusan Malaysia.






