BAGAN DATUK - Seorang lelaki mengalami kerugian RM10,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwa dua rakannya memerlukan wang jaminan.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, mangsa berusia 31 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Menurutnya, suspek mendakwa dua rakan mangsa yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk akan dibebaskan dengan jaminan polis dengan bayaran RM5,000 setiap seorang.
"Mangsa yang mempercayai panggilan tersebut kemudian melakukan tiga transaksi wang ke dalam satu akaun bank yang disyaki akaun keldai seperti diarahkan suspek.
"Lelaki itu menyedari dirinya ditipu selepas hadir ke IPD Bagan Datuk untuk mendapatkan kepastian sebelum dimaklumkan tiada urusan jaminan dilakukan oleh pegawai penyiasat pada hari berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohammad Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak polis, terutama apabila melibatkan permintaan wang.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi IPD berhampiran untuk membuat pengesahan dan tidak melakukan sebarang transaksi wang ke akaun yang mencurigakan.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan membuat laporan polis bagi membantu siasatan.






