Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa sejumlah aksesori untuk konsol Nintendo Switch 2, termasuklah alat kawalan Joy-Con 2 dan Nintendo Switch Pro Controller 2 sudahpun disenaraikan di pangkalan data SIRIM tanpa konsol tersebut diperlihatkan.

Terkini, nama konsol tersebut sudahpun akhirnya tertera di laman web tersebut, dan ini sekaligus mengesahkan bahawa konsol Nintendo Switch 2 ini akan memasuki pasaran tempatan secara rasmi kelak.
Seperti yang sedia maklum, konsol Nintendo Switch 2 akan mula dijual di pasaran Asia Tenggara, termasuklah Singapura, Thailand dan Filipina pada 26 Jun kelak, manakala untuk pasaran Malaysia, tarikh pelancarannya masih lagi tertangguh, dengan tempoh bulan Julai ke September diperlihatkan.

Setakat ini, akaun Nintendo Asia Tenggara masih belum mengumumkan bilakah konsol ini akan memasuki pasaran Malaysia, tetapi dengan penyenaraian terbaru ini (yang menariknya telahpun diperlihatkan sejak awal bulan ini), tidak mustahil sekiranya kita juga boleh menyambut kedatangan Nintendo Switch 2 pada 26 Jun ini bersama-sama negara-negara Asia Tenggara yang lain.

