hamden29/09/2026 - 14:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept - Konsortium Gamuda Bhd, SD Guthrie Bhd dan Gentari telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi cadangan projek tenaga boleh baharu membabitkan pembekalan tenaga daripada loji fotovolta solar berskala utiliti hibrid dengan kapasiti 680 megawatt di Perak.
Projek tersebut yang merangkumi sistem penyimpanan tenaga bateri selama empat jam, akan mencapai operasi komersial pada 2029 dan beroperasi selama 21 tahun.
Gamuda dan SD Guthrie dalam pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu akan dibangunkan di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), dengan tempoh kontrak bekalan tenaga dua hala (BESC) dicadangkan selama 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial (COD).
Menurut Gamuda projek berkenaan tertakluk kepada pelaksanaan Perjanjian Akses Bekalan Tenaga Boleh Baharu dengan pemilik grid, Tenaga Nasional Berhad, serta penerimaan kelulusan CRESS yang diperlukan.
"Projek berkenaan dianggarkan menjana hasil kasar melebihi RM10 bilion sepanjang tempoh pembelian tenaga selama 21 tahun," katanya.
G3nerasi Kinta ialah syarikat usaha sama yang akan melaksanakan projek berkenaan. Struktur pemilikan projek membabitkan Gamuda melalui Gamuda Energy Sdn Bhd, SD Guthrie melalui SD Guthrie Renewable Energy Sdn Bhd dan Gentari melalui Gentari Renewables Sdn Bhd, masing-masing dengan kepentingan 33%, 33.5% dan 33.5% dalam G3nerasi Mutiara Sdn Bhd yang memiliki 100% G3nerasi Kinta.
Gamuda berkata projek itu dijangka memberikan keterlihatan pendapatan berulang yang stabil kepada kumpulan sepanjang tempoh pembelian tenaga selama 21 tahun.
Selain itu, projek berkenaan akan mempercepatkan pengembangan strategik Gamuda dalam infrastruktur tenaga boleh baharu berskala utiliti dan penyelesaian penyimpanan tenaga, sejajar dengan strategi ESG jangka panjang serta komitmen kumpulan ke arah sifar bersih.
Dari segi pembiayaan, projek itu dijangka dibiayai menerusi gabungan pembiayaan projek dan sumbangan ekuiti daripada rakan kongsi konsortium mengikut kepentingan ekuiti masing-masing.
Gamuda berkata projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.
Sementara itu, pelaksanaan BESC dan perjanjian berkaitan di bawah program CRESS disasarkan selesai menjelang suku pertama 2027.
Gamuda berkata ia tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa sehingga BESC muktamad dilaksanakan.
Selepas itu, projek berkenaan dijangka berdepan risiko lazim yang berkaitan dengan BESC dan penjanaan tenaga, termasuk penjanaan tenaga serta kemerosotan peralatan. - DagangNews.com






