liza22/09/2026 - 12:09 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – Penganalisis menyifatkan kemenangan terbaharu projek jalan raya bernilai RM1.8 bilion di Australia sebagai satu perkembangan positif yang akan terus menyokong prospek Gamuda Berhad selepas buku tempahan kumpulan itu meningkat ke paras rekod RM62.5 bilion.
Selain itu, penganalisis turut melihat peruntukan pelarasan kos (rise-and-fall) sebagai faktor yang dapat mengurangkan risiko Gamuda berdepan kenaikan kos sepanjang tempoh pembinaan tersebut.
Kontrak itu juga dilihat membuka ruang untuk Gamuda menambah tempahan projek yang lain dengan beberapa projek masih dalam perancangan atau proses tender yang dapat membantu kumpulan mengekalkan buku tempahan pada paras tinggi dalam tempoh akan datang.
RHB Research berkata kontrak terbaharu itu merupakan projek jalan raya NSW keempat Gamuda selepas Coffs Harbour Bypass, projek naik taraf Lebuhraya M1 Black Hill-Tomago dan Richmond Road Upgrade, sekali gus menambah rekod pencapaian syarikat dalam pasaran infrastruktur Australia.
“Gamuda kini mempunyai sekurang-kurangnya AUD10 bilion nilai keseluruhan projek di Australia yang berada pada peringkat disenarai pendek, dipra-kelayakan atau sedang diburu. Nilai itu belum mengambil kira bahagian efektif Gamuda dalam setiap usaha sama.
“Antara projek yang dikenal pasti termasuk Hunter Transmission, New England Renewable Energy Zone, Direct Sunshine Coast Rail Line, Victoria to New South Wales Interconnector serta beberapa projek tenaga hidro dan pengangkutan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Firma itu turut menyenaraikan pembangunan stesen bersepadu Pyrmont yang dijangka berpotensi dianugerahkan pada suku keempat 2026 dan menyifatkan projek-projek berkenaan sebagai antara sumber yang boleh terus menyumbang kepada kemenangan kontrak Gamuda.
Dari segi unjuran kewangan, RHB Research mengunjurkan pendapatan Gamuda meningkat 30.6% kepada RM23.11 bilion pada FY2027, manakala keuntungan bersih berulang dijangka meningkat 35.5% kepada RM1.40 bilion. RHB Research mengekalkan saranan Beli dengan sasaran harga RM6.20.
MBSB Research jangka FY2027 jadi fasa penting
MBSB Research pula melihat kontrak baharu itu dalam konteks lebih luas iaitu potensi kitaran peningkatan pendapatan Gamuda, dengan kira-kira 75% daripada projek dalam buku tempahan masih berada pada peringkat mobilisasi dan pelaksanaan awal.
Menurut MBSB Research, keadaan itu meletakkan FY2027 sebagai tempoh penting untuk peningkatan pendapatan Gamuda, selepas kumpulan itu mengumpul buku tempahan rekod RM62.5 bilion.
ARTIKEL BERKAITAN: JV Gamuda raih kontrak RM1.8 bilion naik taraf jalan di Australia
“Selain pembinaan, bahagian hartanah Gamuda juga memasuki fasa pertumbuhan seterusnya dengan saluran pelancaran bernilai RM10 bilion pada FY2027 merangkumi Vietnam, Singapura dan Malaysia,” katanya.
Bagi kontrak NSW itu, Gamuda menerusi usaha sama Gamuda BMD memperoleh projek bernilai AUD624 juta atau RM1.8 bilion daripada Transport for NSW. Bahagian 50% Gamuda bersamaan AUD312 juta atau sekitar RM908 juta.
MBSB Research menganggarkan projek itu mencatat margin keuntungan sebelum cukai sekitar 5%, namun risiko kenaikan kos dapat dikurangkan menerusi peruntukan pelarasan kos (rise-and-fall). Firma itu mengekalkan saranan beli dengan sasaran harga RM5.60.
Buku tempahan kekal tinggi
Dalam pada itu, Phillip Capital pula memberi perhatian kepada kemampuan Gamuda mengekalkan saiz buku tempahan pada paras tinggi walaupun mengambil kira kadar pelaksanaan projek sedia ada.
Firma itu menganggarkan dengan kadar penggunaan buku tempahan sekitar RM1.3 bilion sebulan dalam tempoh enam bulan hingga Disember 2026, buku tempahan Gamuda boleh susut kepada kira-kira RM55 bilion pada akhir tahun sebelum mengambil kira kontrak baharu.
Namun, Phillip Capital menjangka beberapa kemenangan tambahan termasuk projek Pyrmont dan tender pusat data yang sedang berjalan boleh membantu membawa buku tempahan Gamuda kembali melebihi RM60 bilion.
Phillip Capital turut menyatakan Australia kini menyumbang 36% daripada keseluruhan buku tempahan RM62.5 bilion Gamuda, berbanding 44% bagi projek tempatan dan baki 20% daripada Taiwan serta Singapura.
Firma itu mengekalkan saranan beli dengan sasaran harga RM5.33 dan tidak mengubah unjuran pendapatan kerana kontrak baharu tersebut masih berada dalam andaian penggantian tempahan projeknya.
Phillip Capital berkata rekod pelaksanaan Gamuda dalam projek infrastruktur dan pusat data terus menjadi antara faktor yang menyokong pandangannya terhadap syarikat itu. - DagangNews.com






