hamden21/09/2026 - 11:24 Mamre Road di Western Sydney, Australia. - Gambar/www.nsw.gov.au Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept - Gamuda Bhd menerusi usaha sama Gamuda BMD Joint Venture (GBJV) memperoleh kontrak bernilai AUD624 juta (kira-kira RM1.8 bilion) daripada Transport for New South Wales (TfNSW) bagi projek naik taraf Elizabeth Drive dan Mamre Road Peringkat 2 di Western Sydney, Australia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memberitahu projek yang dianugerahkan pada 21 September 2026 itu mempunyai nilai keseluruhan kira-kira AUD2 bilion dan dibiayai bersama oleh Kerajaan Australia serta Kerajaan New South Wales.
GBJV merupakan usaha sama antara Gamuda Engineering Pty Ltd (GE Australia), anak syarikat tidak langsung milik penuh Gamuda dan B.M.D Constructions Pty Limited (BMD), dengan pegangan masing-masing 50%.
Di bawah kontrak tersebut, penyertaan 50% Gamuda akan memberikan anggaran hasil sebanyak AUD312 juta (kira-kira RM908 juta).
Projek berkenaan merupakan kontrak reka bentuk dan bina yang melibatkan reka bentuk serta pembinaan kerja-kerja awam dan struktur bagi menaik taraf Elizabeth Drive dan Mamre Road sedia ada di Kemps Creek, Western Sydney.
Skop utama merangkumi naik taraf sepanjang 4.5 kilometer (km) Elizabeth Drive dan 3km Mamre Road, selain kerja-kerja awam, struktur serta pemindahan utiliti berkaitan.
Projek bermula pada 21 September 2026 dan disasarkan siap pada 2030.
Mencerminkan keyakinan pihak berkuasa Australia
Menurut Gamuda, penganugerahan itu merupakan pencapaian penting bagi GBJV serta mencerminkan keyakinan TfNSW terhadap keupayaan usaha sama tersebut dalam melaksanakan projek.
Bagi GE Australia, projek itu akan terus memperkukuh keupayaan reka bentuk dan pembinaannya dalam sektor jalan raya Australia, selain menambah rekod prestasi syarikat dalam melaksanakan projek infrastruktur utama di New South Wales.
Portfolio projek jalan raya GE Australia di New South Wales turut merangkumi Coffs Harbour Bypass, M1 Pacific Motorway Extension Black Hill to Tomago dan Richmond Road M7 Upgrade.
Gamuda berkata, projek baharu itu juga dijangka memperluas rekod prestasi GE Australia serta mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan pelaksanaan syarikat dalam sektor jalan raya.
Dari perspektif jangka panjang, Gamuda melihat asas sektor jalan raya GE Australia kekal kukuh berikutan projek itu terletak di wilayah Western Sydney yang berkembang pesat.
Gamuda berkata projek itu akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Bagaimanapun, projek berkenaan terdedah kepada risiko lazim projek infrastruktur berskala besar termasuk persekitaran inflasi yang berpanjangan yang boleh menjejaskan anggaran kos dan pulangan projek. - DagangNews.com






