Hasil UUE Holdings meningkat 88.8% kepada RM61.2 juta pada 1QFY27 

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 5:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil UUE Holdings meningkat 88.8% kepada RM61.2 juta pada 1QFY27  Image from: Hasil UUE Holdings meningkat 88.8% kepada RM61.2 juta pada 1QFY27  hamden30/07/2026 - 17:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai - UUE Holdings Berhad mencatatkan hasil dan keuntungan selepas cukai (PAT) suku tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat, disokong pertumbuhan kukuh operasi di Malaysia dan Singapura.

 

Bagi suku pertama berakhir 28 Februari 2027, penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah itu mencatatkan hasil sebanyak RM61.2 juta, meningkat 88.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi itu didorong oleh pertumbuhan dua pasaran utamanya, dengan hasil operasi di Singapura melonjak sembilan kali ganda kepada RM9.9 juta, manakala operasi di Malaysia meningkat 63.7% kepada RM51.3 juta.

 

Seiring pertumbuhan hasil, keuntungan kasar meningkat 130% tahun ke tahun kepada RM17.7 juta, didorong oleh leveraj operasi yang lebih kukuh serta margin lebih tinggi daripada projek kejuruteraan kompleks di Singapura.

 

Selepas mengambil kira pelarasan bagi perbelanjaan sekali sahaja skim opsyen saham pekerja (ESOS) sebanyak RM0.2 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) larasan melonjak 345.9% kepada RM11.8 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) larasan meningkat 448.4% kepada RM9.3 juta.

 

Sehingga kini, UUE memperoleh kontrak baharu bernilai RM64.7 juta, menjadikan buku tempahan kumpulan berkembang kepada kira-kira RM515.2 juta yang merangkumi projek sedang dilaksanakan dan kontrak yang telah diperoleh di Malaysia serta Singapura.

 

Prospek Pertumbuhan Kumpulan

Syarikat berkata, buku tempahan itu memberi keterlihatan pendapatan sehingga 36 bulan akan datang, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan kumpulan.

 

Pengarah Urusan UUE, Datuk Dr. Ting Kok Hwa berkata, pencapaian rekod itu mencerminkan keupayaan pasukan operasi di Malaysia dan Singapura melaksanakan projek dengan cekap di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap infrastruktur utiliti bawah tanah.

 

Menurut beliau, pembangunan infrastruktur yang semakin pesat di Malaysia terus merangsang permintaan terhadap pembinaan grid kuasa dan infrastruktur telekomunikasi daripada sektor awam serta swasta.

 

Beliau berkata, pertumbuhan pelaburan dalam pendigitalan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data dijangka terus menyokong permintaan terhadap pembangunan utiliti bawah tanah.

 

"Dengan kepakaran yang terbukti dalam kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pemasangan paip HDPE, UUE berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong pembangunan infrastruktur kritikal, daripada fasa awal pemasangan utiliti sehingga penyambungan akhir.

 

"Di Singapura pula, kami telah berjaya melalui fasa peralihan daripada kitaran projek tahun lalu dan kini menyaksikan momentum pelaksanaan yang lebih kukuh apabila projek bergerak lancar selepas memperoleh semua kelulusan kawal selia yang diperlukan," katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan buku tempahan yang semakin berkembang sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan serantau bagi mengekalkan momentum prestasi dan mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

 

Prospek UUE turut disokong oleh peningkatan pelaburan dalam projek infrastruktur, telekomunikasi dan pusat data di Malaysia serta Singapura, yang dijangka terus merangsang permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved