Tanah baharu E&O di Jalan Kia Peng berpotensi jana GDV RM1.1 bilion, menurut RHB Research

3 Aug 2026 • 9:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tanah baharu E&O di Jalan Kia Peng berpotensi jana GDV RM1.1 bilion, menurut RHB Research Image from: Tanah baharu E&O di Jalan Kia Peng berpotensi jana GDV RM1.1 bilion, menurut RHB Research hamden03/08/2026 - 09:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Langkah Eastern & Oriental Bhd (E&O) memperoleh tanah pegangan bebas di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur menerusi usaha sama (JV) dilihat mampu menjadi pemangkin pertumbuhan keuntungan syarikat dalam jangka panjang apabila tapak strategik itu berpotensi dibangunkan sebagai projek kediaman mewah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan mencecah RM1.1 bilion, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, pemerolehan aset di kawasan utama KLCC itu bukan sahaja mengukuhkan bank tanah E&O dalam segmen premium, malah membuka ruang kepada syarikat untuk menjana margin pembangunan yang lebih tinggi apabila projek itu dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham E&O dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.08 sesaham daripada RM1.05 sebelum ini, sekali gus menawarkan potensi kenaikan sekitar 44% selain hasil dividen dianggarkan kira-kira 3% bagi FY27F.

 

Menurutnya, pemerolehan tanah itu juga memastikan kesinambungan portfolio pembangunan mewah E&O di Kuala Lumpur memandangkan projek Conlay dan The Peak di Damansara Heights kini hampir habis dijual.

 

"Selain itu, kami berpandangan saham E&O masih didagangkan di bawah nilai sebenarnya. Sebarang pelupusan tanah di Andaman Island, khususnya komponen komersial, berpotensi mewujudkan penanda aras harga baharu yang akan menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham berdasarkan Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV)," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Harga Pembelian Sangat Menarik

Tanah seluas 1.4 ekar itu diperoleh menerusi syarikat usaha sama antara E&O dan Majestic Gen dengan pegangan masing-masing sebanyak 66.67% dan 33.33%, pada harga pembelian RM189.9 juta.

 

Tapak tersebut kini menempatkan sebuah kondominium 30 tingkat dan urus niaga berkenaan akan dibiayai menggunakan gabungan dana dalaman serta pinjaman, dengan penyempurnaan transaksi dijangka pada suku pertama tahun kalendar 2027.

 

RHB Research menyifatkan harga pembelian bersamaan RM3,106 bagi setiap kaki persegi (psf) sebagai menarik berbanding beberapa transaksi tanah premium yang direkodkan di sekitar KLCC sejak setahun lalu.

 

Sebagai perbandingan, EXSIM Development dilaporkan memperoleh tapak berhampiran W Hotel Kuala Lumpur pada harga sekitar RM6,000 psf, manakala Mah Sing Group membeli tapak bekas Corus Hotel di Jalan Ampang pada harga RM4,019 psf.

 

Menurut pengurusan E&O, bangunan sedia ada akan dikosongkan selepas semua kontrak sewaan tamat sebelum pembangunan baharu dimulakan.

 

RHB Research berkata, tiga transaksi tanah premium di sekitar KLCC dalam tempoh setahun lalu menunjukkan keyakinan berterusan pemaju terhadap prospek segmen hartanah mewah di pusat bandar.

 

Permintaan yang disokong oleh pembeli asing dan golongan individu berpendapatan tinggi tempatan dijangka terus memacu prestasi segmen tersebut, sekali gus memberikan prospek positif kepada projek baharu E&O.

 

Berdasarkan nisbah plot 10 kali serta harga jualan purata (ASP) yang dijangka sekurang-kurangnya setanding dengan projek Conlay iaitu sekitar RM2,200 psf, projek baharu itu dianggarkan mampu menjana GDV sekitar RM1.1 bilion.

 

Mengambil kira nilai tanah baharu itu dalam anggaran RNAV, firma penyelidikan berkenaan menaikkan harga sasaran E&O kepada RM1.08, berdasarkan diskaun RNAV sebanyak 55% serta diskaun ESG sebanyak 2%- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved