Kontrak MotoGP Malaysia Dilanjut Lima Tahun Hingga 2031

1 Jul 2026 • 3:13 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Kontrak MotoGP Malaysia Dilanjut Lima Tahun Hingga 2031

Kontrak MotoGP Malaysia Dilanjut Lima Tahun Hingga 2031

SEPANG, 1 Julai (Bernama) -- Kontrak penganjuran Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilanjutkan lima tahun lagi hingga 2031, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata kontrak baharu yang berkuat kuasa bermula tahun depan itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia. Kontrak semasa penganjuran MotoGP Malaysia ialah dari 2024 hingga penghujung tahun ini.

"Pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa tetapi merupakan keputusan strategik kerajaan bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dan berdaya saing sebagai hab sukan permotoran dunia," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman itu di SIC hari ini.

Baca juga:

Mohammed Taufiq berkata lanjutan kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran negara, di samping menjana peluang ekonomi menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

"MotoGP Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjurannya pada 2024 telah menjana kira-kira RM694 juta impak ekonomi keseluruhan, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara," katanya.

Beliau berkata selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan, penganjuran MotoGP Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, kepakaran teknikal dan penyertaan dalam industri sukan permotoran yang lebih meluas.

"Menerusi Malaysian Motorsport Development (MDEV), laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun telah membuahkan hasil dengan kemunculan pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa," katanya.

MotoGP Malaysia mula dianjurkan pada 1991 di Litar Batu Tiga Shah Alam sebelum berpindah ke SIC pada 1999.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved