liza03/11/2026 - 09:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Econpile Holdings Berhad telah memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM158.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27) bersamaan 35% daripada sasaran perolehan kontrak baharu sebanyak RM450 juta yang ditetapkan pihak pengurusan.
BIMB Securities Research berkata pencapaian itu merangkumi kontrak bernilai RM61.1 juta yang diumumkan sebelum ini, diikuti kontrak RM24.4 juta bagi projek di Jalan Tun Razak yang dianugerahkan pada 26 Oktober 2026 serta kontrak terbaharu bernilai RM73 juta bagi pembangunan semula Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur.
Menurut firma penyelidikan itu, peningkatan perolehan kontrak berkenaan menunjukkan momentum Econpile dalam mendapatkan projek baharu bagi FY27 selain memberikan gambaran mengenai perkembangan aktiviti perniagaannya.
Kontrak terbaharu itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd yang menerima surat anugerah (LOA) bertarikh 29 Oktober 2026 daripada SA Architects Sdn Bhd bagi pihak Hospital Tung Shin.
Kontrak bernilai RM73 juta itu merangkumi kerja-kerja struktur penahan tanah, cerucuk, kepala cerucuk (pile cap) serta pembinaan papak aras bawah tanah paling rendah bagi projek pembangunan semula hospital berkenaan di Jalan Pudu.
Projek itu melibatkan pembinaan bangunan hospital baharu yang terdiri daripada dua aras bawah tanah, tiga aras bawah tanah rendah bagi kemudahan hospital, lima aras tempat letak kereta, enam aras kemudahan hospital, dua aras pejabat serta ruang mekanikal di bahagian bumbung.
Kerja-kerja pembinaan bermula pada 1 November 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 21 bulan, dengan sumbangan hasil dan keuntungan dijangka bermula pada FY27.
ARTIKEL BERKAITAN: Econpile raih kontrak RM73 juta kerja cerucuk dan substruktur bangunan baharu Hospital Tung Shin
Perluas pendedahan kepada sektor penjagaan kesihatan
BIMB Securities berkata kontrak Hospital Tung Shin itu turut mempelbagaikan campuran projek Econpile kepada sektor penjagaan kesihatan dan pembangunan institusi, melengkapi aktiviti tradisional kumpulan dalam kerja-kerja cerucuk bagi pembangunan kediaman dan komersial.
Firma penyelidikan itu turut mengambil kira buku tender aktif Econpile yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 bilion yang menyediakan ruang untuk penukaran tender kepada kontrak baharu pada masa hadapan.
BIMB Securities kekalkan unjuran kewangan
Dalam perkembangan berkaitan, BIMB Securities mengekalkan unjuran keuntungan Econpile kerana kontrak terbaharu itu secara umumnya masih selari dengan andaian perolehan kontrak baharu yang digunakan dalam anggaran kewangannya.
Bagi FY27, firma penyelidikan itu mengunjurkan hasil Econpile sebanyak RM447.8 juta berbanding RM423.9 juta pada FY26, manakala keuntungan sebelum cukai dijangka meningkat kepada RM3.1 juta daripada RM2.2 juta.
Keuntungan teras pula diunjurkan meningkat kepada RM2.2 juta pada FY27 berbanding RM1.6 juta pada FY26, sebelum meningkat lagi kepada RM5.9 juta pada FY28.
Kekalkan saranan BELI
Susulan perkembangan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan BELI terhadap Econpile dengan harga sasaran tidak berubah pada 16 sen sesaham, berdasarkan 0.60 kali nilai aset bersih sesaham FY27 yang diunjurkan sebanyak 25.6 sen, mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 23.1% berbanding harga saham 13 sen ketika ini.
BIMB Securities kekal positif terhadap peningkatan momentum perolehan kontrak Econpile, campuran projek yang semakin meluas serta kedudukan kunci kira-kira kumpulan yang mempunyai tahap gearing rendah.
Bagaimanapun, antara risiko yang dikenal pasti termasuk penukaran tender kepada kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan, margin pelaksanaan projek yang lemah serta kemungkinan peruntukan rosot nilai tambahan terhadap penghutang lama. - DagangNews.com






