Kontraktor ditahan disyaki cabul anak 

1 Aug 2026 • 2:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kontraktor ditahan disyaki cabul anak 

TAWAU: Polis menahan seorang kontraktor tempatan kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di daerah ini pada 27 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Wilynton Enchana Watt berkata laporan diterima kira-kira jam 6.15 petang hari kejadian daripada seorang pegawai perubatan Hospital Tawau selepas pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ibu mangsa membawa kanak-kanak itu ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau selepas mangsa mengadu bahagian sulitnya telah disentuh oleh bapanya.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) menjalankan operasi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di pekarangan Hospital Tawau kira-kira jam 10.50 malam pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada suspek yang berusia 35 tahun.

Beliau berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Katanya, di bawah akta itu, seseorang melakukan kesalahan jika menyentuh mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak atau menyebabkan kanak-kanak menyentuh tubuh pelaku atau individu lain bagi tujuan seksual.

Wilynton turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, khususnya petugas Hospital Tawau, atas tindakan pantas dan profesional membuat laporan polis.

“Tindakan segera pihak hospital membolehkan polis menjalankan siasatan tanpa berlengah, sekali gus memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan mangsa terus diutamakan,” katanya.

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

Pada masa sama, orang ramai digesa segera menyalurkan maklumat kepada polis atau pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak supaya tindakan segera dapat diambil bagi melindungi golongan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved