
KUALA LUMPUR: Seramai 70 warga kerja Olympia Education Malaysia (OEM) menyertai konvoi Kembara Merdeka menuju ke Melaka dan Muar.
Konvoi yang melibatkan 25 kenderaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang bertolak dari Memorial Tun Abdul Razak, semalam, bertujuan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara di sepanjang perjalanan hampir 200 kilometer (KM).
Pengerusi Kehormat OEM, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor berkata, konvoi berkenaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata, bahkan lebih penting adalah tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap rakyat negara ini.
“Setiap kenderaan membawa Jalur Gemilang, namun mesej yang lebih penting adalah tanggungjawab yang kita galas bersama sebagai rakyat Malaysia.
“Destinasi kami ialah Melaka, tetapi perjalanan yang lebih besar adalah untuk membantu membina sebuah negara yang terus bersatu, berilmu dan saling mengambil berat,” katanya selepas Dialog Wisdom Merdeka 2026 anjuran OEM di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, di sini, semalam.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, OEM menerusi inisiatif Institut Merdeka Malaysia (MIM) menganjurkan dialog berkenaan bagi membincangkan pendidikan dan pembinaan negara.
Dialog bertajuk ‘Merdeka Minda, Membina Negara’ memberikan tumpuan kepada peranan ilmu dalam memerdekakan pemikiran, membentuk peradaban serta sumbangan legasi pendidikan Tun Abdul Razak kepada pembinaan sebuah negara merdeka.
Dialog berkenaan dikendalikan oleh Mohamed Yusof yang menampilkan empat panelis terdiri daripada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose, Pakar Sosiologi Sejarah, Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Pakar Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan.
Pada majlis sama, turut diadakan acara menandatangani tiga Memorandum Persefahaman yang melibatkan MIM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UIAM dengan World Institute Economic Development (WIED) serta OEM dan Lincoln University.
The post Konvoi Kembara Merdeka OEM semarak semangat patriotisme appeared first on Utusan Malaysia.






