Koperal mengaku tidak bersalah serang tujuh rakan setugas

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 1:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Koperal mengaku tidak bersalah serang tujuh rakan setugas
Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan pada Isnin. Foto hiasan

BENTONG - Seorang koperal Angkatan Tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tujuh pertuduhan menyerang rakan setugas bulan lalu.

Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, di stor persenjataan Kompeni C, Kem Rejimen Askar Melayu Diraja Batalion ke-25 di Kem Bentong kira-kira jam 8.30 pagi pada 30 Mac 2026.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak menghampiri atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.

Peguam bela, Mohamed Hafiz Baharudin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai penjaga stor memperoleh pendapatan bersih bulanan RM1,800.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi pertuduhan pertama, mengenakan syarat tambahan tersebut dan menetapkan 18 Mei untuk serahan dokumen.

Bagi pertuduhan lain, Sukry didakwa mencederakan enam lagi mangsa iaitu Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Muhammad Syakirin Yaacob, 20; Muhammad Azman Shah Ismail, 22; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19; dan Muhamad Danial Asraf Azizan, 22, di lokasi sama kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan, manakala pihak pembelaan memohon antara RM1,800 hingga RM2,000. Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan tertuduh tidak menghampiri atau menghubungi semua mangsa sehingga kes selesai.

Terdahulu, polis menahan seorang anggota tentera pada 31 Mac bagi membantu siasatan kes serangan terhadap tujuh anggota di sebuah kem tentera di sini, yang mengakibatkan seorang mangsa cedera parah. - Bernama

View Original Article