Korban banjir Nepal meningkat 633, hampir 3,000 masih hilang

WorldEnvironment
29 Aug 2026 • 2:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Korban banjir Nepal meningkat 633, hampir 3,000 masih hilang

KATHMANDU: Operasi mencari dan menyelamat di Nepal dan China diteruskan pada Sabtu bagi mengesan ribuan mangsa yang hilang selepas aliran air dan serpihan besar seperti tsunami melanda kawasan Himalaya, memusnahkan beberapa kampung.

Angka terkini dari kedua-dua negara menunjukkan jumlah orang hilang kini hampir 3,000, manakala 633 mayat sudah ditemukan.

Sebahagian mangsa yang terkorban juga dipercayai dihanyutkan arus sungai sehingga ke India, menurut laporan.

Di kawasan yang menempatkan pelbagai projek infrastruktur tenaga, pihak berkuasa bencana Nepal menambah 933 pekerja hidroelektrik dalam senarai orang hilang.

Senarai itu sebelum ini turut merangkumi pendaki dan jemaah yang mengunjungi Gunung Kailash yang dianggap suci di Tibet.

Mangsa yang terselamat kini berdepan kehilangan tempat tinggal serta ketidakpastian mengenai nasib anggota keluarga yang masih hilang.

“Semua penempatan berhampiran sungai dihanyutkan. Tiada apa-apa yang tinggal,” kata mangsa terselamat, Buddhi Ram Dangol, kepada AFP.

Samjhana Thing berkata, dia sudah tiga hari menunggu berita mengenai abangnya yang masih hilang.

“Kami tidak tahu apa-apa. Harapnya dia berada di tempat yang selamat,” katanya.

Trauma akibat bencana pada Rabu itu amat besar dan sehingga 93,000 orang mungkin terjejas, menurut Palang Merah, dengan jumlah kematian dijangka terus meningkat.

Pasukan kecemasan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa di kawasan terjejas, namun kemusnahan meluas menyebabkan bekalan makanan dan air semakin berkurangan.

Usaha mencari mangsa yang masih hilang turut berdepan ancaman banjir susulan di kawasan terjejas.

Aliran deras ais dan lumpur menyebabkan pembentukan tasik besar, termasuk sebuah tasik yang kini mengancam secara langsung pasukan penyelamat yang sedang mencari mangsa.

Polis Nepal menggesa semua anggota penyelamat “segera berpindah ke lokasi selamat” selepas menerima maklumat bahawa “sebuah empangan air sekali lagi pecah di sebelah Tibet”.

Di Tibet, pihak berkuasa China menjadi satu-satunya sumber maklumat. Beijing sebelum itu menggantung operasi menyelamat di kawasan paling teruk terjejas di Gyirong berikutan risiko banjir susulan, sebelum memaklumkan ancaman itu semakin reda.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan pada awal Sabtu bahawa dua penduduk kampung berjaya diselamatkan di kawasan berkenaan.- AFP

The post Korban banjir Nepal meningkat 633, hampir 3,000 masih hilang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved