Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

LocalTravel
4 May 2026 • 3:36 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mempertimbangkan pemberian akses kepada Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi kegunaan generator di pulau tersebut, susulan kenaikan kos bahan api serta kebergantungan berterusan kepada sumber tenaga luar grid.

Image from: Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

Sektor pelancongan Malaysia kini menunjukkan pemulihan kukuh berikutan kejayaan pelaksanaan Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia, dengan lebih 200 juta perjalanan pelancong domestik direkodkan pada tahun 2025 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Namun begitu, ketidaktentuan harga tenaga global telah menyebabkan peningkatan kos bahan api secara berterusan, sekali gus memberi tekanan besar kepada destinasi pelancongan luar grid seperti Pulau Perhentian.

Image from: Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

Pengerusi 5P, Rafizah Munir berkata, pengusaha di pulau itu kini berdepan peningkatan kos operasi antara 50% hingga 70% dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Bahan api bukan sekadar kos operasi bagi kami, ia adalah keperluan asas untuk memastikan kehidupan di pulau ini dapat diteruskan. Kami bergantung sepenuhnya kepada generator untuk bekalan elektrik. Kenaikan harga yang berlaku sekarang amat membebankan, dan jika berterusan, kami mungkin terpaksa menaikkan harga atau mengurangkan operasi,” katanya.

Dia menambah, jika keadaan ini tidak ditangani, ia akan memberi kesan kepada daya saing Pulau Perhentian serta keseluruhan ekosistem pelancongan yang menyokong ratusan pekerjaan penduduk setempat termasuk pekerja hotel, pengusaha bot, dan peniaga kecil.

Image from: Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

Memandangkan kekangan infrastruktur yang unik di pulau tersebut, 5P mencadangkan agar pendekatan dasar yang lebih bersasar diperlukan bagi mengambil kira realiti operasi pengusaha yang tidak mempunyai alternatif bekalan elektrik.

Persatuan itu turut menyeru KPDN untuk meneliti semula kerangka subsidi sedia ada dan mempertimbangkan satu mekanisme khas atau pengecualian bersasar untuk pengusaha di kawasan pulau, selain menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak kementerian dalam membangunkan pelaksanaan yang telus dan praktikal.

Image from: Kos Bahan Api Melonjak Tekan Industri Pelancongan Pulau Perhentian

Sabri Hamdan, pemilik Crocodile Rock Villas, turut berkongsi pandangan sebagai pengusaha di pulau tersebut. “Pada pandangan saya, mungkin sudah jelas bahawa kami masih memerlukan sokongan subsidi ini sehinggalah pulau ini dibekalkan sepenuhnya oleh pembekal tenaga nasional,” katanya.

“Dengan VM2026 yang kini sedang berlangsung, kami berharap isu ini dapat diberi perhatian segera. Menyokong destinasi seperti Pulau Perhentian bermakna menyokong komuniti dan ekonomi yang bergantung kepadanya,” kata Rafizah.

5P menaruh harapan agar pihak kementerian di bawah pimpinan YB Menteri Datuk Armizan Bin Mohd Ali dapat mempertimbangkan permohonan ini demi memastikan kelestarian industri pelancongan negara serta kesejahteraan komuniti pulau.