Kos Dijangka Naik Hingga 25% Menjelang Hujung Tahun, Selangor Bersiap Hadapi ‘Titik Panas’ Krisis Global

LocalBusiness & Finance
22 Apr 2026 • 7:09 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kos Dijangka Naik Hingga 25% Menjelang Hujung Tahun, Selangor Bersiap Hadapi ‘Titik Panas’ Krisis Global

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi amaran bahawa kos dijangka meningkat antara 15 hingga 25 peratus menjelang September atau Oktober tahun ini susulan konflik berterusan di Timur Tengah.

Menurut beliau, kenaikan itu bakal memberi kesan luas merentasi pelbagai sektor termasuk sektor kesihatan yang dianggap kritikal, selain turut menjejaskan kos sara hidup rakyat. Namun begitu, beliau menjelaskan impak penuh daripada konflik tersebut masih belum dirasai sepenuhnya ketika ini walaupun sudah terdapat kenaikan harga petrol dan diesel serta gangguan dalam rantaian bekalan global.

“Unjuran ini berdasarkan dapatan sebuah bank antarabangsa yang menjangkakan peningkatan kos merentasi semua sektor ekonomi. Titik ‘panas’ sebenar belum tiba, ia mungkin datang sekitar September atau Oktober,” katanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Kerajaan Negeri Ambil Langkah Awal

Memetik laporan Bernama, kerajaan negeri akan mempelbagaikan usaha bagi memastikan kesan krisis tenaga global dapat ditangani secara berkesan demi kesejahteraan rakyat seiring perkembangan semasa. Amirudin berkata, dalam tempoh enam bulan hingga setahun akan datang, fokus akan diberikan kepada usaha membantu rakyat dan industri menghadapi tekanan ekonomi yang semakin mencabar.

Beliau menjelaskan, antara keutamaan adalah menangani kesan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, khususnya bagi membantu kumpulan rentan menyerap tekanan tersebut. Dalam masa sama, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan industri dan kegiatan ekonomi yang mungkin terjejas secara langsung atau tidak langsung akibat krisis berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri turut melihat keperluan untuk meneroka peluang baharu bagi memperkukuh daya tahan masa depan, termasuk dalam aspek tenaga alternatif dan penggunaan pengangkutan awam. Pada masa sama, komunikasi dengan masyarakat akan dipertingkatkan supaya rakyat lebih memahami kesan jangka pendek dan panjang krisis tenaga ini, termasuk dari sudut kutipan hasil negeri.

Hasil Negeri Dijangka Susut

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin memaklumkan bahawa kerajaan negeri menjangkakan berlaku pengurangan hasil hampir RM100 juta berbanding tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, penelitian terperinci akan dilakukan bagi memastikan keupayaan negeri dapat dioptimumkan dan sasaran hasil RM2.8 bilion seperti yang dibentangkan dalam belanjawan masih boleh dicapai.

Beliau turut menegaskan bahawa keadaan semasa masih belum mencapai tahap kritikal kerana harga bahan bakar ketika ini sebenarnya adalah kesan daripada situasi beberapa bulan lalu. Justeru, kesan sebenar krisis tenaga global dijangka hanya akan mula dirasai dengan lebih ketara sekitar September nanti. – The Malaysian Update