xAI ialah jawapan Elon Musk kepada OpenAI yang dimiliki bekas rakan baik beliau Sam Altman. Keengganan Altman memberikan kuasa kepada Musk menyebabkan manusia terkaya dunia menarik pelaburan dalam OpenAI beberapa tahun lalu. Menurut laporan Bloomberg, kos operasi bulanan xAI mencecah lebih $1 bilion sebulan dan kos operasi tahun ini akan melebihi $13 bilion.

Ini hanya sekitar 3% kekayaan semasa Elon Musk. Sungguhpun begitu pendapatan xAI tahun ini dijangka hanya $500 juta dan meningkat ke $2 bilion pada tahun 2026. Jurang kos operasi dan pendapatan syarikat adalah terlalu tinggi kerana xAI masih sedang melakukan pelaburan besar membina pusat data mereka.
Tidak seperti Google, Meta, Athropic dan OpenAI, xAI tidak mempunyai jumlah pelanggan yang besar. Penggunaannya yang terbesar ialah Grok di X dan Telegram. Kerajaan Amerika Syarikat mempunyai kontrak dengan OpenAI dan Anthropic untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan ketenteraan, risikan dan operasi harian. Google pula mempunyai kerjasama dengan beberapa kerajaan seperti UK dan Malaysia. Meta juga bekerjasama dengan Palantir untuk AI digunakan pada senjata.
Kekurangan xAI pada ketika ini ialah ia kemampuan model AI mereka masih tidak lebih baik berbanding pesaing. Namun begitu kerana penglibatan Elon Musk serta harapan xAI akan menjadi tunjang kepada teknologi robotik dan kenderaan Tesla masih mampu menarik pelaburan seperti $4.3 bilion yang dilaporkan hari ini.


