Sunway Healthcare bersedia hadapi MediAsas dan sistem kumpulan berkaitan diagnosis, mahu kawal kos rawatan hospital

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 3:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunway Healthcare bersedia hadapi MediAsas dan sistem kumpulan berkaitan diagnosis, mahu kawal kos rawatan hospital Image from: Sunway Healthcare bersedia hadapi MediAsas dan sistem kumpulan berkaitan diagnosis, mahu kawal kos rawatan hospital sarah19/11/2026 - 15:18 Gambar dari Facebook Sunway Healthcare Group Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Sunway Healthcare Holdings Berhad memperkukuh pengurusan kos rawatan dan penetapan harga perkhidmatan hospital sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan MediAsas serta perubahan kaedah pembayaran rawatan menerusi sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG).

 

Pengendali hospital swasta itu berkata, perubahan dalam sistem pembiayaan penjagaan kesihatan dijangka meningkatkan perhatian terhadap kemampuan pesakit membayar kos rawatan, ketelusan caj hospital serta usaha memastikan perbelanjaan kesihatan kekal terkawal.

 

Menurut Sunway Healthcare, kumpulan itu akan terus bekerjasama dengan syarikat insurans, pengendali takaful dan pihak berkepentingan bagi menyesuaikan operasinya dengan perubahan tersebut, sambil melindungi margin keuntungan melalui pengurusan harga dan diskaun yang lebih berdisiplin.

 

Usaha itu turut merangkumi penambahbaikan pembelian bekalan perubatan, pengurusan kos rawatan serta peningkatan kecekapan operasi hospital bagi memastikan pertumbuhan perniagaan tidak terlalu bergantung kepada kenaikan caj perkhidmatan.

 

MediAsas ubah kaedah pembayaran rawatan

MediAsas merupakan pelan asas insurans dan takaful perubatan yang dirangka bagi memperluas akses kepada perlindungan kesihatan pada kos lebih berpatutan, dengan pelaksanaan di seluruh negara dijadualkan bermula pada Januari 2027.

 

Di bawah sistem DRG, pembayaran rawatan hospital ditentukan berdasarkan kategori penyakit, prosedur dan tahap kerumitan kes, berbanding kaedah sedia ada yang mengenakan caj mengikut setiap perkhidmatan atau rawatan diberikan. Pelaksanaannya di bawah MediAsas akan dibuat secara berperingkat.

 

Perubahan tersebut berpotensi meningkatkan tekanan terhadap pengendali hospital untuk mengurus kos dengan lebih cekap, khususnya apabila kadar bayaran rawatan ditentukan berdasarkan kategori kes dan bukannya jumlah keseluruhan perkhidmatan yang diberikan.

 

Permintaan pesakit terus meningkat

Dalam perkembangan operasi, Sunway Healthcare merekodkan peningkatan kemasukan pesakit sebanyak 21% kepada 36,541 orang pada suku ketiga berakhir 30 September 2026, manakala kadar penggunaan katil hospital meningkat kepada 76.7% berbanding 70.6% setahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 24% kepada RM737.4 juta daripada RM593.1 juta, sementara keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat meningkat 59% kepada RM95.2 juta berbanding RM59.7 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata, keutamaan kumpulan adalah meningkatkan penggunaan kapasiti hospital, memperkukuh kepakaran perubatan dan menambah baik produktiviti operasi sambil memastikan perbelanjaan modal diurus secara berdisiplin bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved