Pendapatan lebih rendah, Kenanga turunkan unjuran untung bersih PIE Industrial pada FY25 sebanyak 21%

Business & Finance
18 Aug 2025 • 3:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan lebih rendah, Kenanga turunkan unjuran untung bersih PIE Industrial pada FY25 sebanyak 21%

image is not available

18/08/2025 - 15:15

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kenanga Research menurunkan unjuran untung bersih PIE Industrial Berhad bagi FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 21% dan 16% disebabkan penyusutan margin serta jangkaan pendapatan lebih rendah.

Katanya, unjuran margin bersih kini disemak semula kepada 5.6% untuk FY25 dan 5% untuk FY26, berbanding 5.6% sebelum ini. Penurunan itu mencerminkan kesan daripada perkongsian kos tarif dengan pelanggan, yang mengakibatkan pengurangan margin keuntungan, walaupun purata harga jualan (ASP) dapat disesuaikan sebahagiannya.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran hasil syarikat turut dipotong sebanyak 14% untuk FY25 dan 6% untuk FY26, terutamanya disebabkan penurunan sumbangan daripada Pelanggan A yang kini telah mengalihkan sebahagian besar pengeluaran ke Indonesia sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi perubahan tarif global.

"Pengurusan PIE menjelaskan, bahagian yang telah dialihkan adalah sukar untuk diperoleh semula dalam masa terdekat memandangkan komitmen logistik dan sumber yang telah pun ditetapkan di lokasi baharu.

"Tanpa kesan perubahan tarif ini, prestasi hasil separuh pertama FY25 seharusnya sejajar dengan jangkaan awal,” katanya dalam satu nota kajian sambil menambah, kumpulan itu menyasarkan untuk meraih semula sebahagian pesanan baharu pada suku keempat FY25, memanfaatkan kesetaraan tarif di antara negara pengeluar.

Kenanga Research berkata, PIE Industrial turut berdepan cabaran penggunaan kilang yang rendah, khususnya di kilang 5 dan kilang 6, namun syarikat melihat lebihan kapasiti itu sebagai peluang untuk memenuhi permintaan tambahan daripada pelanggan baharu.

Katanya, buat masa ini, 10 pelanggan berpotensi baharu sedang dalam rundingan, sejajar dengan strategi diversifikasi China+1 dan Vietnam+1, dan syarikat optimistik sekurang-kurangnya dua perjanjian bakal dimuktamadkan.

Meskipun berdepan cabaran semasa, kumpulan masih dilihat mempunyai asas kukuh sebagai penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pilihan utama kepada syarikat multinasional, disokong penglibatan dalam pelbagai segmen dari peranti komunikasi hingga peralatan kewangan terdesentralisasi (DeFi).

"Kami mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM3.85 sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard