
ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas sebuah lori yang diubah suai bersama kira-kira 2,500 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Mukim Pulai, di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 7 malam itu, penguatkuasa KPDN mendapati lori yang digunakan untuk menyeleweng bahan api berkenaan merupakan kenderaan sama yang pernah dikenakan tindakan atas kesalahan serupa sebelum ini.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejayaan serbuan berkenaan adalah hasil tindakan risikan berterusan yang dijalankan oleh pihak penguat kuasa selama sebulan.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati lori yang diubah suai dan dilengkapi tangki penyimpanan serta peralatan mengepam itu pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan dalam kes terdahulu.
“Dalam operasi ini, lori yang sama ditemui semula di premis berkenaan bersama peralatan penyimpanan dan minyak diesel disyaki bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Lilis Saslinda, selain lori dan bahan api tersebut, pihaknya turut menyita dua tangki intermediate bulk container (IBC), sebuah tangki skid, pam motor elektrik, meter alir, hos serta pam bermotor arus terus yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak diesel berkenaan.
Beliau menambah, dua lelaki yang dipercayai pekerja di tapak pembinaan tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan barangan yang dirampas dalam operasi berkenaan dianggarkan berjumlah RM33,075. Kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyimpan atau memindahkan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan atau tanpa kebenaran Pengawal Bekalan,” katanya.-UTUSAN
The post KPDN Johor tumpas kegiatan penyelewengan diesel, lori sama ‘kantoi’ kali kedua appeared first on Utusan Malaysia.





