johardy18/08/2026 - 18:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kossan Rubber Industries Bhd bercadang membeli perniagaan Inout di Singapura dan Thailand dengan jumlah pertimbangan tunai kira-kira RM48.41 juta dalam usaha mengembangkan perniagaan produk bilik bersih atau `cleanroom'.
Pengeluar sarung tangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia memeterai dua perjanjian jual beli saham bersyarat pada Selasa untuk memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Inout Enterprise Pte Ltd (IOS) yang berpangkalan di Singapura dan 51% kepentingan dalam Inout Enterprise (Thailand) Ltd (IOT).
Kossan akan memperoleh 1.85 juta saham biasa yang mewakili 100% kepentingan dalam IOS daripada Ang Hwee Tong Matthew, Siha, Intira Lertzangar, Yong Khai Yee (Yang Kaiyi) dan Heng Lee Huat dengan harga tunai S$15.15 juta atau bersamaan RM48.39 juta.
Secara berasingan, Kossan akan memperoleh 25,500 saham biasa yang mewakili 51% kepentingan ekuiti dalam IOT daripada La-ongsri Loetsanga dengan harga tunai 130,000 baht atau RM16,036.93.
Nilai kedua-dua pengambilalihan dalam ringgit itu berdasarkan kadar pertukaran yang ditetapkan terlebih dahulu dan diterbitkan di laman web Bank Negara Malaysia pada pukul 9 pagi, 17 Ogos. Kedua-dua urus niaga berkenaan tertakluk kepada terma dan syarat dalam perjanjian jual beli saham bersyarat masing-masing.
Kembangkan perniagaan cleanroom
Kossan berkata, pengambilalihan itu bertujuan mengembangkan lagi Bahagian `Cleanroom' kumpulan, sejajar dengan strateginya untuk mencapai pertumbuhan mampan dan mewujudkan nilai kepada pemegang saham.
`Cleanroom' merujuk kepada persekitaran terkawal dengan tahap pencemaran atau partikel yang sangat rendah, lazimnya digunakan dalam industri semikonduktor, elektronik, farmaseutikal dan peranti perubatan.
IOS mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perdagangan dan pengedaran produk `cleanroom', dengan rekod prestasinya dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi dan kedudukan kewangan Kumpulan Kossan pada masa depan.
IOS dan syarikat sasaran terlibat dalam perdagangan dan pengedaran produk `cleanroom', manakala Kumpulan Kossan terlibat dalam pembuatan dan pengedaran sarung tangan serta produk `cleanroom'.
Dijangka beri sumbangan positif
Kossan berkata, pengambilalihan itu sejajar dengan strategi pengembangannya untuk meningkatkan penyertaan dalam perniagaan produk `cleanroom' dan memperluas aliran hasil bagi mencapai pertumbuhan mampan.
Cadangan pengambilalihan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan Kossan.
Kossan mengklasifikasikan cadangan pengambilalihan itu sebagai urus niaga pihak berkaitan di bawah Bab 10 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com



