Kumpulan Jetson disaman RM16.78 juta berhubung penamatan penjualan saham GRP Sdn Bhd

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 6:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kumpulan Jetson disaman RM16.78 juta berhubung penamatan penjualan saham GRP Sdn Bhd Image from: Kumpulan Jetson disaman RM16.78 juta berhubung penamatan penjualan saham GRP Sdn Bhd johardy18/08/2026 - 18:27 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kumpulan Jetson Berhad berdepan saman sivil yang menuntut ganti rugi khas sebanyak RM16.78 juta susulan penamatan perjanjian bernilai RM3 juta melibatkan penjualan bekas anak syarikatnya, GRP Sdn Bhd.

 

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia bersama dua defendan lain telah diserahkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 15 Julai 2026 yang difailkan oleh Ng Boon Hong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

 

Ng menuntut ganti rugi khas RM16.78 juta yang didakwa sebagai kerugian akibat kehilangan manfaat urus niaga yang dialaminya atau, sebagai alternatif, jumlah sebenar hasil insurans yang telah dan/atau akan diterima oleh GRP Sdn Bhd.

 

Kumpulan Jetson dinamakan sebagai defendan pertama, manakala GRP Holdings Sdn Bhd dan GRP Sdn Bhd masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

 

Pertikaian penjualan saham RM3 juta

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian jual beli saham (SSA) yang dimeterai pada 9 Januari 2026 antara Ng dan GRP Holdings bagi pembelian keseluruhan modal saham biasa GRP yang diterbitkan dan berbayar, merangkumi 3,000,006 saham, pada harga RM3 juta.

 

Menurut Kumpulan Jetson, GRP Holdings kemudiannya membatalkan dan menamatkan SSA menerusi notis bertulis bertarikh 6 Mac 2026 dengan memberikan dua alasan, iaitu perjanjian itu tidak dapat diteruskan susulan kejadian kebakaran serta tamatnya tempoh pemenuhan syarat terdahulu yang ditetapkan dalam SSA.

 

Perjanjian berkenaan menetapkan syarat terdahulu perlu dipenuhi dalam tempoh 20 hari daripada tarikh kuat kuasa atau dalam tempoh lanjutan yang dipersetujui oleh pihak-pihak terbabit.

 

GRP Holdings kemudian memulangkan deposit dan bayaran ansuran pertama berserta faedah kepada Ng pada 13 Mac 2026.

 

Kumpulan Jetson pada 22 April lalu mengumumkan penjualan keseluruhan kepentingannya dalam GRP Holdings, termasuk anak syarikat milik penuh GRP Holdings iaitu GRP, kepada THH Engineering Sdn Bhd.

 

Pelupusan itu diselesaikan pada 15 Mei, selepas itu kedua-dua syarikat berkenaan tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kumpulan Jetson.

 

Bukan pihak dalam SSA?

Ng memfailkan saman berkenaan pada 15 Julai dengan mendakwa penamatan dan/atau pembatalan SSA itu adalah salah serta menuntut ganti rugi berhubung dakwaan pelanggaran perjanjian tersebut.

 

Kumpulan Jetson menegaskan bahawa ia bukan pihak yang menandatangani SSA antara Ng dan GRP Holdings.

 

Syarikat itu berkata ia telah melantik peguam yang menasihatkan bahawa asas tindakan tersebut tidak mempunyai merit dan tuntutan berkenaan boleh dipertahankan atas alasan Kumpulan Jetson bukan pihak dalam SSA berkenaan.

 

Kumpulan Jetson berkata saman itu dijangka tidak memberi kesan buruk yang ketara terhadap kedudukan kewangan, aset bersih, pendapatan, tahap penggearan, modal saham atau aliran tunai kumpulan, selain tidak dijangka menjejaskan atau mengganggu operasi perniagaan hariannya.

 

Syarikat itu akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting berhubung saman tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved