johardy18/08/2026 - 17:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ocean Vantage Holdings Berhad (OVH) berkata, anak syarikat milik penuhnya, Ocean Vantage Engineering Sdn Bhd (OVE), berdepan 10 tindakan saman oleh sekumpulan pemiutang yang disenaraikan dalam pengumuman terbaharunya kepada Bursa Malaysia.
Tindakan berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Sesyen Sabah dan Sarawak di Bintulu, dengan OVE dinamakan sebagai defendan dalam kesemua 10 kes.
OVH dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, OVE pada 14 Ogos lalu menerima salinan fizikal writ saman dan pernyataan tuntutan, kedua-duanya bertarikh 29 Julai, daripada Union Plus Aluminium & Glass Sdn Bhd melalui peguamnya, Messrs SY Tang & Co Advocates.
Butiran mengenai tindakan oleh Union Plus itu telah didedahkan dalam pengumuman terdahulu OVH bertarikh 10 Ogos.
Pengumuman terbaharu itu merujuk kepada pengumuman syarikat sebelum ini pada 26 Mei, 28 Mei, 22 Julai dan 10 Ogos berhubung tindakan undang-undang berkenaan.
Senarai 10 saman
Plaintif yang disenaraikan ialah Bumirim Sdn Bhd; Li Cheng Construction & Trading Sdn Bhd; Ng Chia Meng dan Loi Hing Lang yang menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama CM Electrical Works; Intercargo Machinery Sdn Bhd dan Intercargo Sdn Bhd; Terapan Dinamik (M) Sdn Bhd; Chundi Anak Madang dan Ling Heng Nguon yang menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama BS Jaya Contractor; Lik-Yong Enterprise Sdn Bhd; Zhong Ming Construction & Engineering Sdn Bhd; Teamplex Corporation Sdn Bhd; serta Union Plus Aluminium & Glass Sdn Bhd.
OVE dinamakan sebagai defendan dalam kesemua 10 tindakan berkenaan.
SSEC pula dinamakan sebagai defendan kedua dalam lapan tindakan, manakala OVH dinamakan sebagai defendan ketiga dalam saman yang difailkan oleh Zhong Ming Construction & Engineering.
Willie Ho Huat Voon dan Kenny Ronald Ngalin masing-masing dinamakan sebagai defendan keempat dan kelima dalam saman Zhong Ming Construction & Engineering itu. Dalam tindakan Teamplex Corporation pula, OVE dinamakan sebagai defendan tunggal.
Tuntutan belum diputuskan mahkamah
OVH menegaskan bahawa dakwaan yang terkandung dalam pernyataan tuntutan adalah tuntutan yang dibuat oleh plaintif dan belum diputuskan oleh mahkamah.
Menurut syarikat itu, pada peringkat ini tiada kesan kewangan dan operasi serta-merta yang timbul daripada tindakan undang-undang berkenaan selain kos guaman dan masa yang diperlukan untuk mempertahankan tuntutan tersebut.
OVH berkata, syarikat telah mendapatkan nasihat undang-undang dan melantik peguam luar untuk menangkis tuntutan berkenaan.
Syarikat itu berkata, pengumuman lanjut akan dibuat mengenai sebarang perkembangan material, termasuk apabila perkara berkenaan selesai dan mendapat penyelesaian muktamad. - DagangNews.com





