amree25/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept — Willowglen MSC Berhad akan melupuskan dua anak syarikat utamanya bernilai RM215.2 juta, dan bakal memberi keuntungan bersih sebanyak RM72.13 juta, selain membolehkan syarikat mengagihkan dividen khas 5 sen sesaham kepada pemegang saham.
Cadangan tersebut akan melibatkan penjualan 100% pegangan kumpulan berkenaan dalam Willowglen (Malaysia) Sdn Bhd (WMSB) dan Willowglen Services Pte Ltd (WSPL) kepada syarikat tujuan khas (SPV), Elixir II Pte Ltd (Elixir II) yang berpangkalan di Singapura.
Daripada jumlah pertimbangan itu, Willowglen akan menerima RM112 juta secara tunai, manakala baki RM103.2 juta akan diselesaikan melalui penerbitan saham baharu dalam Elixir II, sekali gus memberikan Willowglen pegangan kira-kira 37.8% dalam syarikat gabungan itu.
"Daripada hasil tunai berkenaan, sebanyak RM24.24 juta akan diperuntukkan bagi pembayaran dividen khas 5 sen sesaham, yang dijangka dapat diagihkan dalam tempoh dua bulan selepas transaksi itu disempurnakan," maklum kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia.
Baki RM85.96 juta pula jelasnya, akan digunakan untuk pengambilalihan perniagaan baharu dalam tempoh 36 bulan, sebagai sebahagian daripada usaha Willowglen untuk terus mempelbagaikan sumber pendapatan selepas pelupusan tersebut.
Menurut syarikat, transaksi berkenaan turut bertujuan menggabungkan keupayaan pelengkap antara Willowglen dan Excel Marco Group merentasi rantaian nilai automasi industri, sekali gus meluaskan jangkauan pasaran di Malaysia, Singapura dan rantau Asia Tenggara.

Sejajar dengan perubahan tersebut, Willowglen turut mencadangkan pertukaran nama rasmi syarikat itu daripada Willowglen MSC kepada Willownex Berhad, bagi mencerminkan identiti korporat baharu selepas penyempurnaan pelupusan berkenaan.
"Cadangan ini membawa implikasi penting apabila perniagaan dilupuskan menjana lebih 70% daripada jumlah hasil kumpulan, sekali gus berpotensi menyebabkan Willowglen diklasifikasikan di bawah Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia," katanya.
Lembaga pengarah bagaimanapun menegaskan komitmen untuk mengekalkan status penyenaraian syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan merangka pelan penyelarasan yang bersesuaian melalui beberapa langkah pengambilalihan perniagaan baharu.
Dalam penilaiannya, firma penasihat bebas, cfSolutions Sdn Bhd menyimpulkan cadangan pelupusan itu adalah adil dan munasabah serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham, selain mengesyorkan pemegang saham Willowglen menyokong cadangan berkenaan.
Justeru, pemegang saham kumpulan akan menentukan cadangan tersebut dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 19 Oktober 2026, yang dijadualkan berlangsung di Kelab Taman Perdana DiRaja Kuala Lumpur. - DagangNews.com






