
SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor terus bertindak mempergiat naziran dan audit pemborong gas petroleum cecair (LPG) berlesen dalam usaha menangani kegiatan penyelewengan bahan api di negeri itu.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, tindakan ini dilaksanakan bermula awal Oktober lalu di mana setakat ini sebanyak dua pemborong utama sudah diaudit.
“Ada baki lagi 48 pemborong dalam tindakan untuk proses audit dan naziran,” katanya kepada pemberita selepas Op Tiris 4.0 di Sungai Pelek di sini tadi.
Menerusi operasi di kawasan ladang kelapa sawit itu, 207 tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50kg disita dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan sejak beberapa bulan lalu.
Selain itu, tiga lelaki membabitkan dua pekerja warga asing dan seorang disyaki pemilik premis turut ditahan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau sindiket yang menyelewengkan barang kawalan demi memastikan subsidi negara sentiasa dilindungi,” ujarnya.
Bagi tahun 2026, KPDN Selangor telah merekodkan 143 kes barang kawalan dengan nilai rampasan RM4.1 juta, di mana dua daripadanya membabitkan kes ‘decanting’ LPG bernilai RM93,000.
Jelas beliau, secara keseluruhan, 2,198 kes direkodkan di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan mencecah RM10.4 juta bagi tahun ini. – KOSMO! ONLINE
The post KPDN Selangor audit pemborong LPG berlesen appeared first on Kosmo Online.






