Sindiket ubah modus operandi, transit minyak masak di lokasi jauh dari sempadan - KPDN

27 Jul 2026 • 1:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket ubah modus operandi, transit minyak masak di lokasi jauh dari sempadan - KPDN
Hanif (tengah) menunjukkan minyak masak paket bersubsidi yang dirampas pihak berkuasa di kawasan Bachok. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK – Sindiket penyeludup dikesan mengubah modus operandi dengan mengalihkan lokasi transit barangan seludup minyak masak paket bersubsidi ke lokasi jauh dari daerah sempadan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik licik itu terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas lebih 10 tan minyak masak paket bernilai RM25,500 dalam serbuan Op Tiris 4.0 di pekarangan sebuah rumah kosong di Kampung Pauh Sembilan, di sini, jam 6.30 pagi, Isnin.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, hasil risikan selama tiga hari mendapati sindiket sengaja memilih kawasan luar bandar hingga lebih RM50 kilometer dari sempadan antarabangsa sebagai pusat transit baharu.

“Sebelum ini, aktiviti transit dan pemunggahan sering dilakukan di kawasan hotspot berhampiran sempadan seperti Pasir Mas, Tumpat serta Jeli.

“Namun kali ini, mereka menggunakan kawasan jauh dari sempadan iaitu di Bachok sebelum memunggah ke kenderaan lebih kecil dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya ketika pemberita di lokasi serbuan di sini pada Isnin.

Dalam serbuan itu, Hanif berkata, pihak berkuasa menyita sebuah lori kargo tiga tan jenis Isuzu, sebuah Proton Waja dan dua Mitsubishi Pajero dengan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM110,500.

Menurutnya, seorang pemandu lori tempatan berusia 49 tahun ditahan, manakala tiga pemandu kenderaan lain melarikan diri ke kawasan semak sekeliling.

“Semasa serbuan, mereka leka memunggah minyak masak dari lori ke dalam kenderaan dan siasatan awal mendedahkan bekalan itu dibawa dari Lembah Klang menggunakan lori kargo.

“Pemandu lori dipercayai menerima upah RM300 untuk setiap trip penghantaran ke Kelantan bagi mengelak pemeriksaan kotak barangan,” katanya.

Beliau memberitahu, bahan kawalan itu dibeli pada harga subsidi domestik RM42.50 sekotak berisi 17 kilogram namun nilainya dipercayai melambung sehingga RM75 sekotak apabila tiba di kawasan sempanan dan mencecah RM90 sekotak di pasaran Thailand.

Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, statistik setakat ini menunjukkan sebanyak 104 kes penyelewengan minyak masak paket direkodkan dari Januari hingga sekarang.

“Kes membabitkan rampasan 72,886 kilogram bernilai RM178,836.30,” katanya.

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved