
SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan beberapa pengguna mengalami masalah kenderaan selepas mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di negeri ini.
Jurucakap KPDN Pulau Pinang berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan yang tular di media sosial itu dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, pihaknya belum dapat mengesahkan dakwaan berhubung kualiti bahan api yang didakwa menyebabkan kenderaan pengguna gagal dihidupkan selepas mengisi minyak.
“Kita sedang menjalankan siasatan dan meneliti perkara berkenaan sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu, beberapa pengguna menerusi platform Threads mendakwa kenderaan mereka yang sebelum ini berada dalam keadaan baik gagal dihidupkan selepas selesai mengisi bahan api di sebuah stesen minyak sekitar negeri ini.
Perkongsian berkenaan turut mendakwa terdapat pengguna lain mengalami masalah sama dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika mengisi bahan api di beberapa lokasi di bahagian utara. Dakwaan itu kemudian menimbulkan spekulasi bahawa bahan api berkenaan mungkin tercemar, termasuk kemungkinan bercampur air.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi berhubung dakwaan berkenaan dan siasatan KPDN masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar masalah yang dilaporkan. -KOSMO! ONLINE
The post KPDN siasat dakwaan kenderaan rosak selepas isi minyak appeared first on Kosmo Online.






