KPDN Tangguh Penguatkuasaan Maklumat Barangan Di Stor Atas Talian Perlu Dalam Bahasa Malaysia

TechnologyDigital
24 Jun 2025 • 6:56 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Minggu lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan arahan kepada pengendali stor atas talian seperti Shopee dan TikTok Shop untuk menyertakan maklumat barangan yang dijual dalam Bahasa Malaysia.

Ini adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang diluluskan Disember tahun lalu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Penguatkuasaan ini sepatutnya bermula hari ini tetapi telahpun ditangguhkan oleh KPDN.

image is not available

Selepas menerima reaksi negatif daripada pelbagai pihak, KPDN menangguhkan arahan ini dan akan bertemu dengan pengendali stor atas talian utama untuk membincangkan isu serta mengumpul maklum balas. Walaupun Lazada dan Shopee mengeluarkan telah menguatkuasakan arahan ini, timbul isu seperti penggunaan Bahasa Malaysia yang salah serta alih bahasa automatik yang menjadikan maklumat produk mengelirukan.

Tinjauan kami sejak minggu lalu menemukan kesilapan berlaku dalam kalangan peniaga dari China yang menggunakan sistem alih bahasa. Dalam kes lain pula, kerangka telefon pintar Honor 400 disenaraikan sebagai “Kehormatan 400”.

Kegagalan menyenaraikan maklumat barangan yang dijual dalam Bahasa Malaysia boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara tiga tahun jika pesalah ialah individu. Kesalahan oleh entiti korporat pula akan dikenakan denda RM100,000 untuk kesalahan pertama.