
KPDN Terengganu memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Monsun Timur Laut dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik.
KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), sekali gus menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan itu.
Pengarah KPDN Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata pihaknya telah menyediakan stok tambahan sebanyak 30 peratus daripada bekalan asal sebagai langkah persediaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.
“Memang tiada pembelian panik dan setakat ini bekalan adalah mencukupi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 Peringkat Negeri Terengganu di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Beliau berkata KPDN turut menyediakan Inisiatif Ihsan Food Bank bagi membantu mangsa banjir di kawasan yang memerlukan menerusi penyaluran barangan keperluan asas.
“Antara barangan yang disediakan termasuk tepung gandum, minyak masak, gula, biskut dan barangan kering lain. Bantuan itu diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan dengan agensi lain yang turut menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir,” katanya.
MTL yang telah bermula pada 27 Okt lepas dijangka berterusan hingga Mac 2027.
Mohd Mufsi berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai bekalan barangan keperluan kerana KPDN Terengganu turut memberi jaminan stok sentiasa mencukupi, termasuk di kawasan pulau.
“Pada masa sama, kami turut menyediakan stok tambahan sebanyak 30 peratus untuk dijadikan simpanan dalam stor. Begitu juga di kawasan pulau, bekalan sentiasa mencukupi dan tidak akan berlaku keadaan bekalan terputus,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kapasiti bekalan makanan di Malaysia mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan, sekali gus tidak memerlukan negara mengambil langkah kecemasan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan barangan keperluan asas ketika ini.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memastikan keterjaminan makanan negara berada pada tahap yang baik, selain menjamin bekalan barangan keperluan asas mencukupi untuk rakyat dan individu yang berada di negara ini.





